FMT Reporters
PETALING JAYA: Peningkatan kes penyalahgunaan dan penyeludupan dadah di Kelantan sejak 2022 sangat membimbangkan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata tinjauan dan taklimat semasa lawatan kerja ke Kelantan hari ini menunjukkan bahawa jenayah berkaitan dadah menjadi antara isu keselamatan paling serius di negeri itu, lapor Bernama.
“Data menunjukkan bahawa majoriti dadah yang dirampas adalah daripada kategori sintetik seperti pil kuda dan dadah stimulan. Ganja turut dirampas tetapi dalam jumlah lebih kecil.
“Trend penagihan, pengedaran dan penyeludupan dadah semakin meningkat dan hal ini dapat dilihat melalui jumlah tangkapan serta kes-kes yang berakhir dengan sabitan,” katanya yang dipetik sebagai berkata ketika lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Rantau Panjang.
Katanya, data daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pusat pemulihan dadah merekodkan kira-kira 23,000 kes penyalahgunaan dadah di Kelantan.
“Ini menjadikan nisbah Kelantan melebihi 1,000 kes per 100,000 penduduk, jauh mengatasi purata nasional iaitu 566,” katanya.
Lima daerah di Kelantan yang mencatatkan kes dadah tertinggi ialah Jeli, Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah dan Pasir Puteh.
Saifuddin berkata tahap kesesakan penjara di Kelantan juga dikaitkan dengan sabitan kes dadah.
“Penjara Machang kini menampung lebih 3,000 banduan sedangkan kapasitinya hanya 1,560, melebihi 104%. Daripada jumlah itu, 80% merupakan pesalah dadah.
“Penjara Pengkalan Chepa pula melebihi kapasiti dengan 2,977 banduan dan 65% daripadanya berkaitan kes dadah.
“Saya juga menekankan pentingnya aspek kesedaran melibatkan masyarakat dan pihak sekolah dalam memerangi ancaman dadah ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan