Malaysiakini
Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan menyoal kenapa keluarga kepada Pamela Ling Yueh memilih untuk berdiam diri hampir sebulan selepas kejadian wanita itu didakwa diculik.
Pamela dilaporkan diculik pada 9 April namun perkara itu hanya didedahkan kepada umum hampir sebulan kemudian, satu kelewatan yang mendapat perhatian PSM.
“Sekarang sudah hampir sebulan dan saya tertanya-tanya kenapa baru sekarang keluarga beliau mendedahkan perkara ini?
"Siapa yang menasihati mereka supaya berdiam diri,” soal Arutchelvan pada satu kenyataan.
Dia turut mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk menjawab kebimbangan mengenai kemungkinan pembabitan 'tangan ghaib' rangkaian struktur kuasa gelap tidak rasmi (deep state) dalam insiden itu.
"Penjelasan daripada pihak tertinggi polis setakat ini tidak meyakinkan. Orang ramai berhak mengetahui perkara sebenar.
“Perdana menteri dan menteri dalam negeri perlu menjawab sama ada pasukan polis masih berfungsi di bawah kuasa negara atau sudah bertindak di luar kawalan,” katanya lagi.
Pemimpin PSM itu turut merujuk kes kehilangan aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh, dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pernah menuding Cawangan Khas polis terlibat insiden itu.
“Kes Pamela Ling kelihatan sangat mirip dengan dua kes berkenaan.
"Sudah sampai masanya perdana menteri sendiri tampil menjelaskan isu ini kepada rakyat,” tegasnya.
Pada 2 Mei lalu, keluarga Pamela mendedahkan wanita berusia 42 tahun itu diculik ketika menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab dalam perjalanan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Keluarga mendakwa kereta Grab yang dinaikinya telah dipintas oleh tiga kenderaan tidak dikenali, dan dia diarahkan masuk ke salah satu daripada kenderaan itu.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik atau melarikan seseorang dengan niat untuk mengurung secara salah.
Mengenai dakwaan individu terbabit memakai rompi (vest) polis, dia berkata perkara itu turut disiasat.
Pamela isteri kepada ahli perniagaan Thomas Hah Tiing Siu. Pasangan itu kini disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Setakat ini, suaminya masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kehilangan isterinya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan