"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perlis: Rogol jiran sekampung baru kahwin, penganggur direman

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my

Kangar: Penganggur ditahan reman sehingga 13 Mei ini untuk siasatan kes rogol wanita yang yang juga jiran sekampungnya di sini, tahun lalu.

Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira 1 tengah hari Selasa lalu, susulan laporan diterima polis pada 9.20 malam, 2 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, dalam laporan, mangsa berusia 18 tahun mendakwa dirogol di sebuah pondok pada 12.30 tengah malam, 11 Julai 2024.

"Mangsa mendakwa dalam perjalanan ke pondok itu untuk bertemu rakannya yang lain, sebelum suspek yang melalui jalan sama, menariknya ke dalam pondok itu.

"Dia turut mendakwa mukanya ditampar dan ketika bergelut, suspek dikatakan mengugut akan mencederakannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusharifuddin berkata, ketika kejadian, mangsa baru sahaja mendirikan rumah tangga dan cuba merahsiakan kejadian daripada pengetahuan suami serta keluarga kerana bimbang diceraikan.

Bagaimanapun katanya, mangsa yang trauma dengan kejadian selain suspek didakwa kerap mengganggunya menyebabkan mangsa menceritakan insiden terbabit kepada suaminya, sebelum membuat laporan polis.

"Bertindak atas laporan, suspek ditahan di Jalan Persiaran Jubli Emas, Kangar dan semakan jenayah lampau mendapati dia mempunyai empat rekod lampau membabitkan jenayah narkotik," katanya.

Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kangar di talian 04-908 2340 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: