Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
Seremban: Seorang guru sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap murid berusia 11 tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Halim Ismail, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hazeelyah Muhammad.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki itu bagi maksud seksual.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan kira-kira jam 10 malam, 28 dan 29 Jun 2023 di sebuah hotel di Port Dickson.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama di bawah Seksyen 16(1) akta sama.
Jika disabitkan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Manakala di bawah Seksyen 16(1) Akta 792 boleh dikenakan pemenjaraan selama tempoh tidak lebih separuh daripada tempoh maksimum hukuman penjara bagi kesalahan yang dicuba dan boleh dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh bagaimanapun memohon jumlah yang tinggi jika mahkamah membenarkannya.
Norazihah turut memaklumkan tertuduh berdepan pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak sama di Mahkamah Sesyen di Raub, Pahang; Ipoh, Perak dan Melaka sejak 2023.
Peguam Aliff Aiman Rusli memohon mahkamah membenarkan jaminan dibenarkan terhadap anak guamnya dengan jumlah yang rendah dan dicadangkan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Menurutnya, anak guamnya belum berumah tangga dan seorang penjawat awam, namun digantung tugas dan tiada pendapatan sejak 2023.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis berdekatan kediaman setiap bulan, menyerahkan pasport serta tidak mengganggu mangsa dan saksi.
Mahkamah menetapkan tarikh 9 Jun depan untuk sebutan semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan