"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 termasuk Datuk direman berkait tuntutan palsu RM450 juta

FMT Reporters

Dua suspek lelaki ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan perintah reman pagi tadi.
PETALING JAYA: Dua individu termasuk seorang bergelar Datuk direman selepas disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu kira-kira RM450 juta.

Suspek bergelar Datuk berusia sekitar 60-an direman dua hari hingga 6 Mei, manakala seorang lagi berusia sekitar 50-an direman lima hari hingga 9 Mei.

Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Sumber berkata, suspek lelaki terbabit ditahan kira-kira 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM450 juta yang menggunakan dana sukuk dan mendapatkan fasiliti dari sebuah pejabat wilayah dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang bernilai kira-kira RM1.3 bilion.

“Tangkapan ini adalah susulan tangkapan sebelum ini yang melibatkan tuntutan butir matan palsu kira-kira RM360 juta dan jumlah keseluruhan tuntutan palsu ini kira-kira RM800 juta,” katanya.

Menurut sumber, suspek bergelar Datuk sebelum ini pernah direman empat hari pada 30 April hingga 3 Mei lalu membabitkan kes tuntutan palsu kira-kira RM360 juta.

“Bagaimanapun, beliau ditahan sekali lagi bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu yang kali ini melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta,” katanya.

Minggu lalu, seramai lima individu direman berkaitan kes ini dan empat daripadanya dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tiada ulasan: