Agensi

WAJAH Qing ketika dalam fotofit suspek menjadi tular di China. FOTO Agensi
Beijing: Gara-gara 'menjual' kisah silam yang pernah dipenjarakan kerana bekerja sebagai penipu, platform media sosial China melarang wanita yang sebelum ini digelar "banduan paling cantik" itu daripada membuat penstriman langsung.
Qing Chenjingliang, 26, yang berasal dari Mianyang, Sichuan, sebelum ini pernah menjadi buruan polis selepas terbabit dalam sindiket penipuan membabitkan 1.4 juta yuan (kira-kira RM822,000).
Wajah cantiknya ketika itu digunakan dalam fotofit suspek menjadi tular di seluruh negara, hingga dia diberi gelaran sebagai "suspek tercantik" China.
Selepas menjalani hukuman penjara setahun dua bulan, Qing cuba bangkit dengan membuka kedai minuman di kampung halamannya.
Namun, langkahnya untuk muncul semula di dunia maya baru-baru ini mengundang kontroversi hangat.
Menggunakan gambar lamanya ketika dikehendaki polis sebagai gambar profil, Qing aktif bersiaran langsung dua kali sehari, berkongsi pengalaman hitamnya di penjara dan taktik licik menipu mangsa.
Malah, dia menggalakkan pengikutnya menghantar 'hadiah maya', jika mahu mendengar lebih banyak kisah panasnya.
"Saya sudah insaf. Kini mahu bantu orang ramai elak jadi mangsa," katanya dalam satu siaran langsung.
Bagaimanapun, tindakannya itu dianggap keterlaluan apabila netizen mendakwa dia mengambil kesempatan menjual kisah jenayahnya demi populariti dan wang.
Akhirnya, akaun Qing digantung pada 27 April lalu, dengan semua videonya dipadam.
Platform yang digunakannya secara tegas menyatakan, mereka melarang kandungan yang mengeksploitasi sejarah jenayah untuk keuntungan.
Namun, isu ini terus hangat diperdebatkan, apabila topik mengenainya mencatat lebih 54 juta tontonan di laman sosial China.
Ada yang mempertahankan Qing dengan berkata: "Dia sudah jalani hukuman, dia berhak mulakan hidup baharu."
Namun, tak kurang juga yang mengecam: "Dia bangga dengan gelaran 'banduan paling cantik'. Itu pemikiran yang rosak!"
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan