Hariz Mohd
Wanita yang dijumpai mati selepas jatuh dari sebuah van yang sedang bergerak di Lebuhraya Kesas Selasa lalu sebelum itu dilaporkan bertengkar dengan suaminya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, mereka bertengkar apbila suami itu menegur isterinya yang menggunakan van tersebut tanpa lesen.
"Asal mereka ni gaduh suami isteri, gaduh pasal penggunaan van, isteri tak ada lesen dan kenderaan tu terbabit kemalangan, mereka bergaduh dalam kereta.
"Kemudian dia (isteri) kata dia nak terjun (dari kereta)... (kemudian) dia terjun," kata Rusdi dalam satu sidang media di Kuala Lumpur petang tadi.
Mangsa berusia 44 tahun yang berasal dari Ipoh itu jatuh di jalan berhampiran kawasan rehat dan rawat Awan Besar dan maut di tempat kejadian.
Rusdi berkata suaminya tidak memberhentikan kenderaan selepas kejadian itu.
Sebaliknya, lelaki tersebut yang mempunyai tiga orang anak dengan si mati, terus memandu pulang ke rumah dan bertindak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Pihak polis terpaksa mengesan van tersebut dan mengenal pasti bahawa ia milik suaminya sebelum memaklumkan mengenai kematian isterinya.
Rusdi berkata polis telah menahan suami wanita itu dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian kerana tidak berbuat apa-apa untuk menghalang kejadian itu.
“Dia sepatutnya sekurang-kurangnya memperlahankan kenderaan apabila isterinya berkata dia mahu terjun.
“Dan selepas kejadian, dia sepatutnya berhenti di situ, bukannya terus memandu pulang,” katanya.
Pesuruhjaya polis itu menyatakan bahawa siasatan bergantung kepada laporan kecederaan mangsa dan kenyataan suaminya kerana tiada CCTV di lokasi kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan