"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi dicabar apa masalahnya?

Hishamuddin Aun

Timbalan presiden PKR sedia hadapi pertandingan demi perkuat parti.

Seperti kesudahan drama Melayu di televisyen yang sesetengahnya tergantung dan membiarkan penonton membuat kesimpulan sendiri, Rafizi Ramli mengesahkan akan mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR pada 23 Mei ini.

Logik atau tak logik jalan ceritanya seperti puluhan episod dalam slot drama TV adalah perkara kedua tetapi Rafizi nampaknya telah memainkan peranan utamanya dengan baik hingga beliau digambarkan merajuk dan kecewa sebelum menamatkan teka-teki ramai.

Seperti satu sindiran pelawak Harith Iskander bahawa pelakon drama Melayu kerap ditunjukkan bercakap kepada diri sendiri – cara paling mudah agar penonton dapat memahami apa suara hatinya dalam sesuatu babak – Rafizi harus sudah banyak bercakap kepada dirinya sepanjang beberapa hari lalu hingga sampai kepada keputusannya itu.

“Patutkah aku tarik diri (daripada pemilihan) atau patutkah aku bertanding dan biarkan perwakilan buat pilihan?” begitulah kira-kira skrip yang bermaksud bertanyakan soalan kepada dirinya di sebalik apa saja yang dikatakan ramai di luar sana.

Kalau diikutkan penjelasannya pada Rabu, penyandang timbalan presiden PKR itu tidak kisah menang atau kalah dalam pertandingan yang bakal menyusul, malah tidak ambil pusing kalau pun kehilangan jawatan menteri dalam Kabinet Anwar Ibrahim.

Seandainya jawatan nombor dua dalam parti dapat dikekalkan, maka peranan beliau dalam parti dan kerajaan dapat diteruskan.

Jika sebaliknya pula, beliau bertekad untuk kembali sebagai pemimpin akar umbi yang akan terus lincah berkempen di bawah – sesuatu yang tidak dapat dilakukannya jika masih memegang jawatan menteri ekonomi.

Pertandingan jawatan timbalan presiden bukan baru bagi Rafizi. Selepas tewas tipis kepada penyandang Azmin Ali dalam pemilihan yang dipalit kontroversi pada 2018, beliau menang dengan majoriti 16,668 undi mengatasi Saifuddin Nasution Ismail pada pemilihan 2022.

Apa agaknya yang mendorong Rafizi dilaporkan menyuarakan hasrat berundur daripada jawatan timbalan presiden dalam satu mesyuarat bersama penyokongnya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 April lalu?

Satu, beliau tidak puas hati terhadap sistem pemilihan parti yang dianggap tidak adil hingga beliau mencadangkan kepada Anwar supaya sebuah syarikat audit luar negara mengaudit sistem pemilihan PKR didorong suara tidak puas hati berterusan mengenai sistem pemilihan sedia ada.

Dua, antara nama besar dari ‘kem Rafizi’ tewas pada pemilihan bahagian sebelum ini termasuk Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad di Setiawangsa, Pengarah Strategi PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Johor Bahru dan Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung di Petaling Jaya.

Namun, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh memaklumkan pada Isnin lalu bahawa semua keputusan peringkat cabang itu dimuktamadkan selepas pembentangan laporan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) serta audit pihak ketiga.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sehari sebelum itu – yang turut dihadiri Rafizi — sebulat suara bersetuju menerima keputusan pemilihan yang telah dijalankan, dengan Anwar meminta semua pihak menghentikan polemik berkaitan keputusan pemilihan dan mahu parti terus bergerak ke hadapan.

“Mustahil (beliau mahu letak jawatan kerana kekalahan rakan-rakannya). Rafizi seorang yang rasional dan berprinsip tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa dan merugikan diri sendiri,” kata Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor Mohammad Fahmi Ngah, antara yang terawal memberi reaksi.

“Tak benar (dakwaan itu),” kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim pula.

Penganalisis pula cepat menyimpulkan kekalahan ‘kem timbalan presiden’ pada pemilihan bahagian menunjukkan pengaruh Rafizi semakin merosot yang membuka ruang kepada pertandingan jawatan disandangnya.

Hanya pada 1 Mac lalu, Anwar meminta agar Rafizi diberi ‘laluan mudah’ untuk mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden sambil menambah beliau telah mengamanahkan menteri ekonomi itu untuk menjadi timbalannya, dan harus diberi ruang bagi menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Sambil permintaannya itu yang dibuat pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan cabang Selangor di Petaling Jaya itu bukan dalam nada berseloroh, apakah hasrat Anwar itu telah diingkari?

Mungkin kerana itu juga Rafizi memohon cuti selama sebulan sehingga 31 Mei, yang bagaimanapun dipendekkannya apabila kembali bertugas dengan menyertai Anwar dalam satu perjumpaan dengan bekas perdana menteri Jepun Kishida Fumio di Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.

Dalam tempoh cuti singkatnya itu, Rafizi dalam penjelasannya semalam turut berkongsi bahawa beliau ada menyatakan kepada Anwar dan Saifuddin kesediaannya tidak bertanding merebut jawatan timbalan presiden PKR dan sedia memberi laluan kepada menteri dalam negeri itu pada pemilihan parti dan meletakkan jawatan dalam Jemaah Menteri.

“Saya bersedia untuk tidak bertanding timbalan presiden dan tidak menyertai Kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi. Kebimbangan saya banyak berkisar kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan dan tidak menyerang seperti rentak PKR semasa menjadi pembangkang.

“Kedudukan saya sebagai seorang menteri menyebabkan saya terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas seperti sebelum ini. Ia menyumbang sedikit-sebanyak kepada keadaan kempen PKR yang dilihat tidak agresif,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Rafizi juga membuktikan dirinya seorang yang sedia mendengar pandangan hingga membawa kepada keputusannya untuk bertanding timbalan presiden di samping mengalu-alukan persaingan terhadap jawatan yang disandangnya sejak 17 Julai 2022 – sesuatu yang wajar diraikan dalam semangat demokrasi.

“Kedua-dua mereka (Anwar dan Saifuddin) memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding timbalan presiden dan menjadi sebahagian daripada Kabinet,” tambahnya sambil mengalu- alukan penyertaan Nurul Izzah Anwar – dilaporkan menerima banyak sokongan sebahagian besar bahagian PKR di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kedah dan Melaka – di samping Saifuddin.

Kedua-dua bakal calon itu belum mengumumkan keputusan, namun dijangka berbuat demikian sebelum tarikh pencalonan untuk MPP yang dijadualkan semula dari 3 dan Mei kepada 8 dan 9 Mei.

Seperti disimpulkan Anwar dalam hantaran Facebooknya: “Sejak tahun 2010 lagi, jawatan timbalan presiden sentiasa ada perlawanan. Penyandang dicabar itu perkara biasa. Jangan kita tiba-tiba jadi regresif dan buatkan calon nak berlawan tu jadi serba salah.

“Jadi, kenapa tahun ni tiba-tiba jadi isu kalau ada yang nak berlawan jawatan timbalan presiden? Dah empat penggal berturut-turut jawatan timbalan presiden dipertandingkan. Tak pernah jadi isu dan masalah. Itulah demokrasi dalam PKR.”

Tiada ulasan: