"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi mahu pertahan jawatan timbalan presiden, sedia dicabar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Rafizi Ramli akan mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti pada bulan ini, sambil mengalu-alukan penyertaan Nurul Izzah Anwar dan Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam kenyataan media, menteri ekonomi itu berkata menjadi hak untuk sesiapa bertanding dan wajar diraikan dalam semangat demokrasi.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti.

“Ia keputusan menang-menang bagi saya,” katanya sambil menjelaskan beliau akan kembali memainkan peranan sebagai pemimpin akar umbi jika kalah pada pemilihan.

Kenyataan Rafizi itu menamatkan spekulasi berhubung kedudukannya untuk pemilihan PKR.

Rafizi yang menang jawatan timbalan presiden PKR pada 2022 turut berharap setiap aduan berkaitan pemilihan itu ditangani secara berhemah.

“Saya berpendapat apa pun isu berbangkit, baik mengenai sistem, aduan, atau perkara-perkara lain, perlu ditangani secara berhemah kerana tingkah laku kita sepanjang proses ini dinilai rakyat,” kata ketua PKR Pandan itu.

Pemilihan jawatan timbalan presiden PKR menjadi perhatian selepas Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menerima banyak sokongan untuk bertanding.

Setakat ini, sebahagian besar bahagian PKR di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kedah dan Melaka menyatakan sokongan kepadanya.

Selain itu, pimpinan utama sayap Wanita dan Pemuda PKR turut menyatakan sokongan terhadap Izzah.

Saifuddin juga disebut bakal bertanding jawatan itu namun beliau sehingga kini belum membuat keputusan.

Tiada ulasan: