B Nantha Kumar
Seorang calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lenggong membuat laporan rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung dakwaan ketidaktelusan dan ketidakadilan dalam proses serta keputusan pemilihan parti di cabang berkenaan.
Ahmad Nizam Noh - salah seorang daripada lima calon ketua cabang PKR Lenggong - berkata laporan itu dibuat di ibu pejabat ROS di Putrajaya semalam.
"Keputusan yang dikeluarkan sangat tidak masuk akal. Hampir semua jawatankuasa dari pasukan saya menang besar, tetapi saya sebagai calon Ketua Cabang tewas.
"Sebaliknya pesaing saya, Tahiruddin Pooty, menang besar sebagai Ketua Cabang, sedangkan semua ahli jawatankuasa beliau kalah dengan margin undi yang ketara," katanya kepada Malaysiakini.
Ahmad Nizam juga menjelaskan bahawa dia telah menghantar bantahan rasmi melalui e-mel kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada 16 April lalu bersama bayaran RM100.
Namun katanya sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas walaupun keputusan rasmi diumumkan pada Mei lalu.
Lenggong merupakan salah satu cabang yang menyaksikan fenomena ‘badan tanpa kepala’ – iaitu calon ketua cabang tewas manakala barisannya menang besar.
Surat aduan yang dikemukakan kepada ROS turut dilihat oleh Malaysiakini. Antara aduan yang dibangkitkan termasuk kelewatan JPP mengumumkan keputusan.
"JPP mengambil masa lebih 12 jam untuk mengumumkan keputusan pemilihan cabang Lenggong, sedangkan pengundian dilakukan secara atas talian (online) yang sepatutnya lebih pantas," katanya.
Kesemua 15 AJK letak jawatan
Sebagai tanda protes, katanya, kesemua 15 ahli jawatankuasa (AJK) dari pasukannya yang menang dalam pemilihan PKR yang lalu telah meletakkan jawatan serta-merta.
"Mereka telah mengisytiharkan peletakan jawatan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah pada 8 Mei.
“Pada 15 Mei salinan dihantar kepada Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, dan satu lagi salinan kepada ROS pada 9 Jun," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Fuziah untuk mendapatkan komen.
Ahmad Nizam mendesak ROS menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan keadilan dan ketelusan dalam proses pemilihan PKR.
"Saya percaya ROS mempunyai integriti untuk menyiasat isu ini agar tidak berleluasa dalam parti dan negara tercinta ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan