"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siasat kes Ismail Sabri selesai, SPRM akan lucut hak wang RM170 juta

N Faizal Ghazali

SPRM memaklumkan pihaknya telah selesai melengkapkan siasatan melibatkan kes bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, timbalan pendakwa raya juga bersetuju untuk memfailkan permohonan melucut hak wang tunai RM170 juta yang dikaitkan dengannya.

“Dalam kes ini pun kita telah selesai menjalankan siasatan, (kertas siasatan) telah pun berada dengan timbalan pendakwa raya (DPP).

“Maklumat saya dapat adalah setakat ini, DPP bersetuju untuk failkan dalam tempoh dua minggu lagi, pertamanya untuk melucut hak wang RM170 juta.

“Jadi terpulang kepada beliau untuk mencabar permohonan kami itu,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Pada 3 Mac lepas, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safehouse susulan serbuan pihaknya.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan 57 individu dirakam percakapan bagi membantu siasatan berkenaan.

Pada 10 Feb lalu, Ismail Sabri dilaporkan mengisytiharkan sumber-sumber perolehan.

Pertuduhan jenayah belum diputuskan

Sementara itu Azam berkata, bagi sebarang pertuduhan jenayah terhadap anggota parlimen Bera belum lagi diputuskan setakat ini.

“Berhubung sebarang pertuduhan jenayah belum lagi diputuskan dan saya menunggu daripada pihak pendakwa raya,” katanya.

Tiada ulasan: