"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek bunuh penuntut universiti di Cyberjaya dikesan guna kad ATM mangsa

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suspek kes pembunuhan seorang penuntut universiti swasta berusia 20 tahun di Cyberjaya pagi semalam, dikesan melakukan beberapa transaksi pengeluaran wang menggunakan kad ATM mangsa.

Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman, berkata sebanyak lima atau enam transaksi dikesan dilakukan suspek di sekitar ibu negara, tidak lama selepas mangsa dibunuh.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan untuk mengenal pasti identiti suspek dan mengesan keberadaannya.

“Kad ATM mangsa antara barang berharga dilaporkan hilang selain komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai.

“Polis sedang mengumpul maklumat termasuk merakam keterangan saksi kejadian,” katanya, menurut Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis menerima laporan berhubung penemuan mangsa di unit Mutiara Ville didiaminya pada 10.28 pagi.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada tanda kediamannya dipecah masuk. Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati terdapat kesan luka di kepala.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah disebabkan hentakan objek tumpul di kepala. Tiada kecederaan yang konsisten dengan rogol,” katanya.

Mangsa yang dilaporkan berasal dari Kuching, Sarawak ditemui dengan kesan kecederaan pada badan oleh rakannya kira-kira 10 pagi semalam.

Dia dikatakan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang fisioterapi dan tinggal di bilik itu bersama lima pelajar lain. Bagaimanapun, rakan sebiliknya telah pulang ke kampung halaman untuk bercuti pada 21 Jun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Tiada ulasan: