"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada pihak dalam PAS berandaian "pesta gay" dirancang untuk memburukkan negeri terbabit

Pesta gay: 'Apakah ia dirancang untuk burukkan nama Kelantan?'

Malaysiakini 

PAS Johor membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan "pesta gay" yang dibongkar polis di Kelantan baru-baru ini sebenarnya dirancang untuk memburukkan negeri terbabit.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Johor, Abdul Aziz Yunos, mendakwa orang ramai memang tahu kerajaan Kelantan amat mengambil berat aspek peradaban serta gaya hidup yang bermaruah.

Katanya negeri itu juga terkenal dengan gelaran Serambi Mekah kerana budaya dan kehidupan rakyatnya sentiasa terjaga serta bermoral.

Namun, menurut Abdul Aziz, tiba-tiba ada pesta tidak bermoral dilaporkan di Kelantan sedangkan aktiviti itu tidak pernah diperakui penduduk setempat.

Pun begitu, katanya, ada persoalan yang berbangkit. Misalnya Abdul Aziz mendakwa semua suspek yang ditahan dalam pesta gay itu "bukan anak kelahiran Kelantan" justeru ia sesuatu yang meragukan.

"Apakah ini merupakan suatu konspirasi daripada pihak yang ingin memburukkan nama kerajaan Kelantan yang selama ini teguh membawa pendekatan Membangun Bersama Islam?

"Apakah ia suatu kejahatan yang dirancang untuk memburukkan nama Kelantan negeri Serambi Mekah?" katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan Abdul Aziz bahawa semua suspek yang ditahan itu bukan anak kelahiran Kelantan.

Sangat tidak wajar

Malaysiakini pada 17 Julai lalu melaporkan polis Kelantan menyerbu satu program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melibatkan lebih 20 lelaki tempatan di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, Kota Bharu pada pertengahan Jun.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat awam dan risikan pasukan khas selepas menerima aduan mengenai penganjuran pesta makan-makan yang dipercayai dikhaskan untuk golongan gay.

Mohd Yusoff berkata hasil pemeriksaan di lokasi turut menemukan ratusan keping kondom dan beberapa kotak ubat HIV di dalam sebuah bilik khas yang dipercayai dijadikan tempat simpanan oleh penganjur.

Selain itu, siasatan terhadap telefon bimbit milik tiga individu menemukan rakaman video lucah berunsur gay.

Katanya mereka yang terlibat berusia lingkungan 20-an hingga 30-an, terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam.

Kerajaan Kelantan kemudian merakam penghargaan ke atas polis kerana menggagalkan perjumpaan maksiat membabitkan kumpulan terbabit.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan, menyifatkan kejayaan itu mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa menjaga maruah agama, memelihara ketenteraman awam serta mempertahankan nilai hidup masyarakat yang berlandaskan syariat Islam.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada PDRM Kelantan atas tindakan pantas dan tegas menggagalkan penganjuran pesta maksiat melibatkan kumpulan gay di Kota Bharu.

“Amalan LGBT adalah satu kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak dan menggugat keharmonian sosial,” katanya.

Sementara itu 31 pertubuhan bukan kerajaan dan individu tampil menolak dakwaan pihak polis dan menegaskan dokumentasi oleh Justice for Sisters (JFS) berkaitan acara tersebut berbeza sama sekali dengan kenyataan pihak berkuasa.

“Bertentangan dengan dakwaan bahawa ia merupakan ‘pesta seks sejenis’, program itu sebenarnya adalah acara kesihatan.

“Ia menyediakan maklumat kesihatan seksual dan berkaitan HIV, kondom, serta ujian secara sukarela untuk menggalakkan amalan seksual yang lebih selamat.

“Acara yang bermula pada jam 8 malam itu melibatkan ceramah kesihatan bersama penyedia perkhidmatan kesihatan termasuk doktor.

“Ia mula ditamatkan sekitar tengah malam, namun kira-kira 20 peserta masih berada di lokasi untuk menunggu keputusan ujian mereka.

“Tiada seorang pun daripada mereka yang menawarkan atau terlibat dalam perkhidmatan seksual semasa acara tersebut.

“Para peserta hadir untuk mendapatkan maklumat dan menjalani ujian kesihatan seksual,” kata NGO tersebut.

Abdul Aziz mendakwa para penganalisis boleh berfikir dan "memahami" apa yang berlaku di Kelantan itu.

"Sangat tidak wajar jika perkara itu benar kerana kerajaan dan rakyat Kelantan sentiasa berusaha ke arah mewujudkan baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur.

"Justeru adalah diharapkan pihak berkuasa menyiasat sehingga ke akar umbi siapa yang merancang dan terlibat membawa dan membenarkan amalan songsang itu dilakukan di Kelantan," katanya.

Tiada ulasan: