"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut selepas disedut ke dalam mesin MRI kerana memakai rantai logam berat

Astro Awani

Medan magnet dalam MRI cukup kuat untuk menarik objek seperti kunci, telefon bimbit dan tangki oksigen, yang boleh menjadi peluru berbahaya jika tidak dikawal. - Gambar hiasan

NEW YORK: Seorang lelaki berusia 61 tahun meninggal dunia selepas disedut ke dalam mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) ketika memakai rantai logam yang berat di sebuah pusat perubatan di Westbury, Long Island, Amerika Syarikat (AS).

Menurut Jabatan Polis Daerah Nassau, lelaki tersebut masuk ke bilik MRI tanpa kebenaran ketika mesin itu sedang beroperasi di Nassau Open MRI.

Isterinya, Adrienne Jones-McAllister, memberitahu media tempatan bahawa beliau telah memanggil suaminya masuk ke bilik selepas menjalani imbasan lutut.

Mangsa memakai rantai seberat 9 kilogram dengan kunci yang digunakan dalam latihan kekuatan.

Kesan magnet kuat dari mesin MRI menarik rantai logam tersebut dan menyebabkan lelaki itu tercampak ke arah mesin, lalu mengalami kecederaan parah.

Beliau dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan dan menekankan bahawa prosedur MRI memerlukan semua objek logam ditanggalkan sebelum imbasan dimulakan.

Juruteknik MRI dilaporkan cuba menarik mangsa keluar, namun usaha tersebut gagal.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA), medan magnet dalam MRI cukup kuat untuk menarik objek seperti kunci, telefon bimbit dan tangki oksigen, yang boleh menjadi peluru berbahaya jika tidak dikawal.

Kejadian ini mengingatkan kembali insiden tahun 2001 apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut akibat cedera parah selepas sebuah tangki oksigen terpelanting di bilik MRI.

Tiada ulasan: