Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Trend terbaharu di media sosial yang menjadi ikutan anak muda dikenali sebagai 'S-Line' dilihat amat mendukacitakan dan membimbangkan kerana jelas membuka kemaksiatan dan zina dilakukan kepada pengetahuan umum.
Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, trend itu jelas melanggar hukum Allah SWT.
"Perkara ini amat mendukacitakan kerana Islam menyuruh kita menutup keaiban, Allah suka kepada orang yang menutup aib kerana Allah sendiri menutup aib kita dengan keampunan.
"Oleh sebab itu, trend ini menunjukkan kepada umum di laman sosial mereka melakukan zina dan maksiat berdasarkan apa yang mereka zahirkan.
"Ini cukup berbahaya kepada anak muda, bahkan ini tidak boleh dijadikan bahan bergurau atau sekadar hiburan kerana membuka keaiban memperakukan kemaksiatan yang kita lakukan kepada awam itu berdosa dan haram di sisi agama," katanya kepada Harian Metro.
Penularan trend itu bermula dengan drama Korea S-Line yang memaparkan kisah seorang gadis yang mampu melihat garisan merah di atas kepala seseorang.
Garisan merah itu kononnya menggambarkan berapa kali mereka melakukan hubungan seks.
Mohd Izhar Ariff berkata, Allah SWT sangat memuliakan anak Adam, maka tidak kira yang tua atau muda wajib menutup keaiban.
"Jangan diuar-uarkankan apa maksiat yang kita lakukan, tetapi dosa dan maksiat dilakukan perlu mendapat keampunan dan memohon makfirah daripada Allah," katanya.
Mohd Izhar Ariff berkata, pihak berkuasa perlu menangani isu ini dan membanteras habis-habisan terhadap usaha golongan muda yang dilihat mempermainkan dan membuka keaiban mereka dengan zina secara terbuka.
"Perkara ini perlu diambil perhatian pihak berkuasa supaya trend ini tidak dinormalisasikan, kerana ia jelas perkara haram.
"Menutup aib adalah wajib dan kita tidak boleh menggalakkan anak-anak muda ini tidak kira di sekolah, kolej atau universiti untuk membuka keaiban sehingga orang ramai mengetahui diri mereka pernah berzina," katanya.
Menurutnya, ibu bapa perlu memainkan peranan daripada semua aspek selain mendidik mengenai agama.
"Agama memainkan peranan dan mengajar kita untuk memastikan anak-anak kita ini beretika dalam semua aspek kehidupan.
"Ibu bapa perlu pantau laman sosial anak-anak dan cepat menegur mereka, jangan anggap ini kebebasan bersuara untuk anak membesar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan