Buletin TV3

Douglas Elliot David
PETALING JAYA: Ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, mendakwa bahawa dia dipaksa membuat pengakuan membunuh anaknya ketika berada dalam tahanan reman.
Ismanira, 30, memberikan keterangan itu semasa prosiding pembelaan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Menurutnya, dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang 13 hari siasatan dijalankan, namun mendakwa pihak polis tidak berpuas hati dengan keterangannya.
“Mereka menuduh saya mengarang cerita dan perkara yang saya tidak lakukan.
“Mereka reka cerita bahawa saya sebenarnya telah menjumpai anak saya, lalu saya yang membunuh anak saya sendiri.
“Apabila saya menafikan, mereka tetap tidak puas hati,” katanya.
Tambahnya, siasatan dijalankan di sebuah banglo yang digelar ‘safe house’ yang terletak di sini.
Berhubung dakwaan pengabaian, Ismanira yang kelihatan sugul memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak pernah mengabaikan anak lelakinya yang berusia enam tahun itu.
“Saya yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Zayn sepanjang usianya. Saya hanya berpisah dengan Zayn pada waktu saya bekerja dan ketika dia berada di sekolah sahaja.
“Saya tidak berada di Blok R sepanjang masa dan saya tidak pernah ke kawasan sungai seperti dalam pertuduhan.
“Saya benar-benar hilang anak pada hari tersebut dan bukan saya sengaja mengabaikan,” katanya sebak.
Prosiding ditangguhkan pada tengah hari dan bersambung semula pada sebelah petang.
Selain Ismanira, empat lagi individu termasuk suaminya yang juga bapa kepada Zayn, Zaim Ikhwan Zahari, akan tampil sebagai saksi pembelaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan