Zuliaty Zulkiffli

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Foto orang awam
YAN: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemukan mati dengan kesan jerutan pada leher dan luka di bahagian bibir dipercayai dibunuh.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, mangsa berusia 37 tahun itu ditemukan mati di ruang tamu sebuah rumah Kampung Jalan Yan, Teroi, Guar Chempedak di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 1 tengah hari tadi ketika lelaki berusia 42 tahun menegur mangsa kerana lewat untuk ke tempat kerja.
“Mangsa melihat lelaki itu dalam keadaan tidak puas hati. Lelaki itu mengambil besi kecil dan mangsa pergi ke dapur mengambil parang serta terus melibas parang terbabit ke arah lelaki berkenaan.
“Lelaki itu mengelak dan melempar besi ke lantai dan mencapai wayar kabel berhampiran sebelum menjerut leher mangsa.
“Ketika berlaku pergelutan, lelaki berkenaan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Hamizi berkata, berikutan itu lelaki berkenaan datang ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, tempat kejadian adalah sebuah rumah batu satu tingkat di tanah lot.
“Rumah itu mempunyai tiga bilik yang didiami oleh pekerja buruh binaan jambatan di Bukit Jenun, Pendang yang terdiri daripada dua lelaki tempatan dan lima warga Bangladesh termasuklah suspek dan si mati.
“Susulan daripada itu, polis menahan enam lelaki termasuk dua warga tempatan dan empat warga Bangladesh berusia antara 29 hingga 44 tahun untuk membantu siasatan.
“Kita turut merampas satu gulung wayar, sebilah parang dan sebatang besi konkrit untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohamad Hamizi berkata, permohonan reman akan dilakukan terhadap kesemua suspek, esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan