"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita Bangladesh dakwa ' ini salah suami' selepas dituduh potong kemaluan teman lelaki

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
WANITA warga Bangladesh, Begum Masuma, 34, yang sebelum ini ditahan selepas disyaki memotong kemaluan teman lelakinya, dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
WANITA warga Bangladesh, Begum Masuma, 34, yang sebelum ini ditahan selepas disyaki memotong kemaluan teman lelakinya, dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
Johor Bahru: Wanita warga Bangladesh yang sebelum ini ditahan selepas disyaki memotong kemaluan teman lelakinya, dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Begum Masuma, 34, pada mulanya mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagaimanapun, pengakuan bersalah tertuduh tidak diterima mahkamah kerana ia dibuat dengan bersyarat serta tertuduh hanya memahami sedikit sahaja pertuduhan itu.

"Faham sikit-sikit. Ini salah 'suami'," kata tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang lelaki, Babu Mondol, 33, dengan menggunakan sebilah pisau iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat kawasan setinggan belakang sebuah kilang di Gelang Patah di sini, kira-kira jam 1 pagi, 8 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli memberitahu mahkamah kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin dan pihaknya juga tidak akan mencadangkan sebarang ikat jamin atas tiga alasan.

"Tertuduh adalah warga asing dan dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan tidak mempunyai sebarang dokumen sah untuk memasuki Malaysia.

"Ini juga kesalahan serius kerana mendatangkan cedera parah pada mangsa yang juga teman lelakinya dan mereka berdua tinggal serumah," katanya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan perkhidmatan jurubahasa Bangladesh.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh didakwa sebagai seorang bukan warga Malaysia didapati tidak memiliki apa-apa pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang kepadanya untuk masuk ke negara ini.

Ia dilakukan di perkarangan Balai Polis Gelang Patah di sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari, tarikh yang sama dan bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Atifah Hazimah Wahab turut menolak pengakuan bersalah dibuat tertuduh kerana wanita itu dilihat seperti tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan kes juga akan disebut semula pada 11 November depan bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Bangladesh.

Pada 9 Oktober lalu, media melaporkan seorang wanita warga Bangladesh ditahan polis selepas bertindak kejam memotong kemaluan teman lelakinya akibat cemburu apabila mengetahui lelaki itu masih mempunyai isteri di negara asal.

Tiada ulasan: