NOOR HASLIZA NUSI

Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Balik Pulau, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!
BALIK PULAU – Seorang fasilitator mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak berusia 12 tahun semasa menyertai program motivasi, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Firdaus Abdul Shukor, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Berdasarkan semua pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kem White Resort, Kampung Genting di sini, antara pukul 4.09 pagi hingga 4.30 pagi, 12 Oktober lalu. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 14(d) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Huey Ting kemudiannya mengarahkan kes tersebut dirujuk ke Mahkamah Sesyen untuk proses jaminan termasuk lantikan peguam sekali gus menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula bagi kes tersebut.
Pada 16 Oktober lalu, media melaporkan penahahan suspek berhubung kejadian berlaku semasa mangsa menyertai satu program motivasi anjuran sekolah.
Suspek yang merupakan fasilitator jemputan dikatakan bertindak mencabul mangsa ketika waktu tidur di asrama penginapan kem motivasi berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku semasa peserta kem sedang tidur pada tengah malam di dalam dorm yang menempatkan murid lelaki.
Mangsa hanya menceritakan kejadian itu kepada guru besar selepas pulang dari kem berkenaan sebelum laporan polis dibuat oleh guru besar berkenaan di Balai Polis Bagan Serai, Perak. -KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan