Suharmin Yusuf
suharmin.yusuf@hmetro.com.my

(kiri) Noor Aslee Ahmad. (kanan) Alicia Tening Clement. FOTO Ihsan Polis
Subang Jaya: Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan dua individu yang dilaporkan hilang di sekitar Puchong, Selangor dalam dua kejadian berasingan sejak minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan pertama diterima pada 24 Oktober 2025 jam 12.06 tengah malam, membabitkan seorang lelaki warga tempatan.
"Mangsa bernama Noor Aslee Ahmad, 55, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tengah, 47100 Puchong, Selangor, pada 22 Oktober 2025.
"Mangsa menaiki motosikal Kawasaki Z300 warna kuning bernombor pendaftaran BNQ 9508 dan tidak pulang ke rumah sejak tarikh berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, butiran mangsa adalah berbangsa Melayu, beragama Islam, mempunyai ketinggian 162 sentimeter, berat 55 kilogram, berkulit sawo matang, berambut lurus, berhidung mancung, bermata bulat dan bermulut nipis.
Sementara itu, Wan Azlan berkata, laporan kedua diterima pada 24 Oktober 2025 jam 5.59 petang, membabitkan seorang remaja perempuan.
"Remaja terbabit bernama Alicia Tening Clement, 16, yang kali terakhir dilihat di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Indah, Selangor, pada 18 Oktober 2025.
Beliau berkata, remaja berkenaan mempunyai ketinggian 154 sentimeter, berat 50 kilogram, berkulit cerah, berambut hitam pendek paras bahu, bermata biasa dan bermulut nipis.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan kedua-dua individu ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-78627222 / 03-78627100," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan