Bernama
KEMAMAN: Kegembiraan tujuh sekeluarga berkelah di Pantai Penunjuk, Kijal, bertukar tragedi apabila seorang wanita dan anak saudaranya maut, manakala lima lagi nyaris lemas selepas ditarik ombak ketika mandi-manda, petang tadi.
Ketua Polis Kemaman, Mohd Razi Rosli, berkata dalam kejadian kira-kira 4.15 petang, mereka dipercayai sedang mandi di kawasan pantai sebelum tiba-tiba dihanyutkan ombak ke bahagian lebih dalam.
Katanya, lima mangsa berjaya diselamatkan ahli keluarga dan orang awam, namun dua lagi mangsa tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke klinik dan hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang tidak sedarkan diri ketika ditemui dibawa ke Klinik Kesihatan Kijal, namun disahkan meninggal dunia pada 5.23 petang.
“Ibu saudaranya berusia 39 tahun turut tidak sedarkan diri dan dibawa Ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.42 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kijal, Azizee Alias, berkata semua mangsa yang nyaris lemas ketika mandi di pantai berjaya diselamatkan orang awam sebelum ketibaan pasukannya.
“Pihak bomba di lokasi kejadian telah memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum mereka diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan