"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Liverpool: Mohamed Salah mengalami kemerosotan musim ini

Empat faktor Salah merudum
Agensi
SALAH gagal meledak gawang lawan dalam saingan EPL sejak akhir-akhir ini. FOTO Reuters
SALAH gagal meledak gawang lawan dalam saingan EPL sejak akhir-akhir ini. FOTO Reuters
London: Mohamed Salah tidak memulakan musim ini dengan tahap tinggi seperti kebiasaannya dan legenda Liverpool, Jamie Carragher percaya dia tahu sebabnya.

Penyerang Mesir itu hanya menjaringkan tiga gol dalam 10 penampilan untuk Liverpool dalam semua pertandingan setakat ini termasuk kemarau gol selama empat perlawanan berturut-turut.

Prestasi hambar Salah turut seiring dengan penurunan prestasi pasukan The Reds, yang dikendalikan Arne Slot, selepas mereka tewas dalam tiga perlawanan terakhir sebelum rehat antarabangsa bulan Oktober.

Walaupun Carragher menolak dakwaan era kegemilangan Salah sudah berakhir, beliau mengakui bintang itu "tidak kelihatan seperti pemain yang sama seperti musim lalu", menurut tulisannya dalam kolum The Telegraph.

Bagi menjelaskan punca di sebalik penurunan prestasi Salah, Carragher mengenal pasti empat faktor utama yang menyumbang prestasi hambar pemain itu.

Faktor pertama ialah kematian Diogo Jota dan emosi yang jelas kelihatan pada wajah Salah ketika penyokong Liverpool menyanyikan nama pemain Portugal tersebut.

Kedua, perpindahan Trent Alexander-Arnold ke Real Madrid mengubah gaya permainan Liverpool. Salah dan Trent sebelum ini membentuk gandingan mantap di bahagian kanan selama tujuh tahun.

Seperti yang Carragher nyatakan, Salah "telah bermain di hadapan empat pemain bek kanan berbeza musim ini Conor Bradley, Jeremie Frimpong, Dominik Szoboszlai dan, seketika, Wataru Endo."

Selain itu, Carragher turut menyorot perubahan taktikal yang dibuat Slot musim ini yang menyebabkan pasukan lawan lebih mudah mengeksploitasi Salah berbanding musim lalu di mana dialah yang menjadi ancaman utama.

"Salah satu sebab dia sangat berkesan musim lalu ialah kerana Slot membina pasukan berdasarkan strategi 'risiko dan ganjaran' dengan penyerang utamanya," tulis Carragher.

"Slot menggalakkannya kekal di depan padang tanpa perlu banyak turun membantu pertahanan, dengan kepercayaan bahawa Szoboszlai, Alexander-Arnold atau Ibrahima Konaté akan menjaga bahagian kanan pertahanan ketika pasukan diserang balas.

"Namun, perubahan di bahagian tengah, pertukaran pemain di posisi bek kanan, serta prestasi tidak konsisten Konaté membolehkan pihak lawan mengeksploitasi bahagian kanan Liverpool dengan lebih berkesan."

Namun bagi Carragher, ada satu sebab utama yang paling besar mempengaruhi prestasi Salah ketika ini.

"Perbezaan paling ketara bagi Salah ialah di kawasan lawan, dia terlepas tiga peluang besar menentang Chelsea yang boleh mengubah keputusan perlawanan."

Carragher menambah lagi: "Statistik paling membimbangkan menunjukkan masalah Salah sudah bermula sejak Mac lalu. Dalam 21 penampilan terakhirnya untuk Liverpool, dia hanya menjaringkan lima gol (dua daripadanya sepakan penalti). Sebelum itu, dia menjaringkan 32 gol dalam 42 perlawanan untuk kelabnya.

"Dalam saingan Liga Perdana Inggerismusim ini, jaringannya menentang Bournemouth satu-satunya gol bukan penalti setakat ini. Itu perlu berubah untuk menamatkan perbualan tentang sama ada zaman kegemilangannya sudah berakhir."

Salah kini berpeluang menyepikan pengkritiknya pada Ahad apabila Liverpool menentang musuh tradisi, Manchester United, di Anfield dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Perlawanan itu sememangnya istimewa buat pemain berusia 33 tahun itu menyaksikan dia menjaringkan 16 gol dalam pertemuan antara kedua-dua pasukan, tujuh lebih banyak daripada mana-mana pemain lain dalam sejarah pertemuan tersebut.

Tiada ulasan: