Zuhainy Zulkiffli
GEORGE TOWN: Lelaki warga tempatan ditemukan maut di tempat letak motosikal sebuah pangsapuri di Jalan Van Praagh, Jelutong di sini semalam, dipercayai akibat terjatuh.
Mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan pelbagai kesan kecederaan di seluruh badan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian jam 7.16 malam.
Katanya, pemeriksaan terhadap tubuh lelaki itu di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Pemeriksaan lanjut di aras 12 pangsapuri berkenaan menemukan barangan peribadi dipercayai milik lelaki itu.
“Semakan rekod mendapati lelaki berkenaan berusia 55 tahun dan berstatus bujang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Rozak berkata, bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini mengesahkan punca kematian kerana pelbagai kecederaan konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.
“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan