Alias Abd Rani

Sazali mengaku salah atas 11 pertuduhan amang seksual lima pelajar. – Foto NSTP
MUAR: Seorang pemandu bas henti-henti dihukum penjara enam tahun dan 22 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas 11 pertuduhan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar perempuan sebuah sekolah di Batu Pahat.
Tertuduh, Sazali Sahlan, 53, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Mohd Khairi Haron yang memerintahkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintah berjalan serentak manakala hukuman sebatan dilaksanakan secara berasingan, menjadikan tempoh penjara selama enam tahun dan 22 sebatan keseluruhan.
Kesalahan dilakukan tertuduh antara hujung 2024 hingga pertengahan 2025 di dalam bas yang diparkir berhampiran hentian Jalan Yong Peng-Muar, Yong Peng ketika mangsa menaiki kenderaan itu untuk pulang dari sekolah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh tahanan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan