"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki ditahan tunggang motosikal secara cuai, tumbuk anggota polis

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang penganggur ditahan selepas menunggang motosikal secara cuai serta mencederakan seorang anggota polis ditahan dalam kejadian di Jalan Mempelam, Taman Gembira, Klang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, suspek lelaki berusia 28 tahun itu menunggang motosikal secara melulu dan bergesel dengan sebuah kereta Toyota Rush dipandu lelaki tempatan berusia 55 tahun.

Katanya, mangsa kemudian berhenti untuk memeriksa kerosakan sebelum berlaku pertengkaran mulut antaranya dan suspek.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan membaling tin minuman keras ke arah mangsa, namun sempat mengelak. Mangsa kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

"Sebaik menyedari kehadiran kereta peronda polis, suspek cuba melarikan diri menggunakan motosikalnya dan hampir melanggar mangsa.

"Ketika tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan dan suspek menumbuk seorang anggota polis di bahagian muka. Suspek akhirnya berjaya ditahan dan motosikalnya dirampas bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan suspek yang tidak bekerja mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah dan kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 279 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

"Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan," katanya.

Tiada ulasan: