Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Georgetown: Suspek lelaki yang ditahan disyaki terbabit dengan kes samun hingga mendatangkan kecederaan terhadap bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak di Taman Pekaka, Gelugor, hari ini mempunyai sebanyak 13 rekod lampau.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, semakan mendapati suspek yang juga warga tempatan mempunyai 10 rekod lampau berkaitan narkotik dan tiga kesalahan jenayah.
Azizee berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 7.01 pagi.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku jam 6.45 pagi, membabitkan lelaki warga tempatan berusia 74 tahun.
"Mangsa yang pulang dari masjid menyedari suspek bersembunyi di tepi halaman rumahnya.
"Ketika dihampiri mangsa, suspek tiba-tiba mengacukan satu objek warna hitam dan menyerangnya dengan objek berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azizee berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan memanjat pagar rumah apabila mangsa menjerit meminta bantuan.
Katanya, jiran mangsa yang menyedari kejadian cuba mengejar suspek tetapi gagal.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami cedera bahagian kepala dan menerima 16 jahitan di sebuah klinik berhampiran.
"Permohonan reman terhadap suspek akan dijalankan esok bagi membolehkan siasatan dijalankan.
"Suspek yang berusia 52 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 39 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan cedera ketika melakukan samun," katanya.
Sehubungan itu, Azizee berkata, orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga menjejaskan siasatan dan mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan