HARRITH HISHAM
PETALING JAYA – “Saya betul-betul sangat sedih. Apa-apa yang saya cakap pun dah tak guna, sebab nyawa anak orang dah hilang.”
Itu luahan penuh sebak bapa kepada pelajar lelaki yang ditahan dalam kejadian tikaman yang mengorbankan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama, di sini semalam.
Menurutnya, dia masih terkejut dan tidak menyangka anaknya sanggup bertindak sedemikian hingga meragut nyawa rakan sekolah sendiri.
“Saya betul-betul tak sangka ini akan berlaku. Saya tak dapat bayangkan,” katanya ketika ditemui selepas memberikan keterangan kepada pihak polis, di sini semalam.
Dalam pada itu, katanya, pada hari kejadian, dia menghantar anaknya ke sekolah seperti biasa dan tidak mendapati sebarang perlakuan yang luar biasa.
“Pagi tadi (semalam) semuanya biasa sahaja. Dia seorang yang pendiam dan agak introvert. Saya ada tanya dia apa yang berlaku di sekolah, kalau ada apa-apa yang tak baik, orang buli, atau cikgu marah, suruh dia beritahu kami.
“Tapi setiap kali kami tanya, dia cuma kata tak ada apa. Dia tak pernah sebut pun tentang perempuan itu. Dia memang sangat pendiam, tak banyak bercakap dan tak suka cari gaduh atau usik orang,” ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu, mangsa yang berusia 16 tahun ditemui berlumuran darah akibat kecederaan dengan beberapa kesan tikaman pada badan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, pihaknya kemudian menahan pelajar lelaki berusia 14 tahun selain merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan