"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Susulan kes Shamsul, Anwar gesa menteri pantau rapat pegawai

Qistina Nadia

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan semua menteri agar memantau secara rapat pegawai masing-masing susulan dakwaan rasuah yang mengaitkan bekas pegawai kanannya, Shamsul Iskandar Md Akin.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata Anwar memberi peringatan itu ketika membentangkan perkembangan berkaitan Shamsul, yang telah meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kanan Perdana Menteri.

“PM beri peringatan kepada semua jemaah menteri untuk sentiasa pantau, terutama pegawai-pegawai. Tiada (sesiapa) akan dilindungi sekiranya berlaku apa-apa perkara mungkin bersifat salah laku.

“Tiada sesiapa yang terkecuali daripada undang-undang dalam negara kita,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

Dia berkata Anwar turut mengulangi jaminannya bahawa tiada perlindungan akan diberikan kepada sesiapa, tanpa mengira kedudukan mereka, jika ada perkara yang perlu disiasat pihak berkuasa termasuk SPRM.

Ditanya mengenai kemungkinan PKR mengambil tindakan terhadap Shamsul yang juga Pengerusi PKR Melaka, Fahmi berkata belum ada perbincangan di peringkat parti setakat ini dan perkembangan lanjut mungkin hanya diketahui pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang seterusnya.

RM629,000, cerut, sut, ubah suai rumah

Sebelum peletakan jawatan Shamsul pada 25 November lalu, ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa dia telah membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul selepas diyakinkan bahawa dia boleh membantunya mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.

Selain membiayai kerja ubah suai, peralatan dan perabot untuk dua hartanah, Tei turut mendakwa dia membelanjakan ribuan ringgit untuk cerut premium dan sut tempahan khas buat Shamsul, yang juga didakwa meminta wang daripada Tei ketika ke luar negara.

Satu rakaman video yang disiarkan di media sosial turut memaparkan Tei berbual dengan seorang wanita — didakwa proksi Shamsul — yang memberitahunya bahawa Anwar telah memberi restu agar ahli politik Sabah dirakam secara rahsia. 

Berdasarkan tanda masa dalam video, rakaman itu dibuat pada Jumaat lalu.

Shamsul telah membuat laporan polis terhadap Tei, mendakwa tuduhan berbaur fitnah yang dipaparkan dalam video itu adalah konspirasi jahat untuk mencemarkan imej Anwar.

Namun, Shamsul tidak menyatakan sama ada laporan itu turut merangkumi dakwaan Tei berhubung perbelanjaan wang ke atas dirinya.

‘Tiada wartawan yang patut diserang’

Dalam isu berlainan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Anwar mengecam serangan terhadap wartawan, Haresh Deol.

“Kejadian beberapa hari lalu di Bangsar tak patut berlaku kepada mana-mana wartawan, terutama ketika mereka menjalankan tugas,” katanya.

Menurut Fahmi, kabinet menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

Terdahulu hari ini, individu bernama Krishnan Rajendran, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan menyerang Haresh. Tertuduh didakwa bersama seorang lagi individu yang masih bebas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya.

Haresh, pengasas bersama portal berita Twentytwo13, sebelum ini menyatakan harapan agar polis berjaya menahan semua individu yang terlibat bagi mendapatkan gambaran tepat mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

Terdapat spekulasi serangan terhadap Haresh mungkin berkaitan dengan pandangannya yang lantang dalam beberapa isu, termasuk kontroversi kewarganegaraan melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tiada ulasan: