"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Tanah runtuh, pokok tumbang ranapkan dapur dua rumah

Rosli Ilham
Hajarah Said (kanan) bersama anaknya melihat bahagian dapur rumahnya di FELCRA Seri Bandi yang ditimpa pokok dan tanah runtuh. – Foto NST
KEMAMAN: Gerak hati seorang wanita ketika sedang memasak untuk menuju ke ruang tamu rumah menyelamatkannya daripada dihempap, ketika runtuhan tanah dan pokok tumbang yang meranapkan bahagian belakang kediamannya di FELCRA Seri Bandi, di sini.
Hajarah Said, 52, turut bersyukur kerana anak perempuannya serta seorang anak saudara masing-masing berada di bilik ketika bahagian dapur rumahnya itu dihempap susulan hujan lebat kira-kira jam 9.30 pagi.

“Ketika itu saya baru masuk ke ruang tamu rumah… kalau tidak saya tak tahu bagaimana nasib saya.

“Saya bersyukur kerana umur masih panjang dan tuhan menyelamatkan saya daripada musibah,” katanya ketika mengulas kejadian yang turut menyebabkan bahagian dapur rumah milik jirannya rosak.

Tambah Hajarah, sebaik melangkah masuk ke ruang tamu, tiba-tiba dia terdengar dentuman kuat sebelum segera menjerit memanggil anaknya.

“Saya dan anak keluar untuk memeriksa, sebelum terkejut melihat bahagian dapur rumah kami serta kediaman jiran ditimpa tanah dan pokok tumbang.

“Rumah saya hanya kira-kira 10 meter dari bukit dan saya sama sekali tidak menyangka kejadian runtuhan ini boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, kedua-dua pemilik rumah terbabit diarahkan berpindah demi keselamatan memandangkan hujan lebat masih berlaku.

“Kita bimbang kejadian ini berulang dan kerja pembaikan akan dilakukan sebaik cuaca kembali pulih,” katanya.

Tiada ulasan: