"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rancang serang dan tawan pulau, bunuh semua lelaki

Agensi
GAVIN Rivers Weisenburg (kiri) dan Tanner Christopher Thomas merancang menyerang Pulau Gonave di luar Haiti. FOTO Pejabat Sheriff Daerah Collin
GAVIN Rivers Weisenburg (kiri) dan Tanner Christopher Thomas merancang menyerang Pulau Gonave di luar Haiti. FOTO Pejabat Sheriff Daerah Collin
Austin, Texas: Dua lelaki dari Texas, Amerika Syarikat (AS), didakwa merancang menyerang Pulau Gonave di luar Haiti bagi mengambil hamba seks dan melaksanakan 'fantasi' ganas mereka, lapor Metro UK.

Menurut pihak pendakwa, Gavin Rivers Weisenburg, 21, dan Tanner Christopher Thomas, 20, dituduh merancang merekrut tentera gelandangan untuk menyerbu pulau berkenaan.

Dokumen tuduhan menyebut mereka berhasrat membunuh semua lelaki di pulau itu dan menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai hamba seks.

Mereka juga merancang membeli bot layar, senjata api dan merekrut ahli gelandangan dari kawasan District of Columbia (DC) sebagai tentera upahan.

Difahamkan, pulau seluas 743 kilometer persegi itu mempunyai populasi sekitar 100,000 orang dan hanya boleh diakses dengan bot dan penduduk hidup dalam kebuluran serta kemiskinan melampau.

Dalam pada itu, Thomas menyertai Tentera Udara AS pada Januari lalu, dan memberitahu Weisenburg bahawa dia menyertai tentera untuk membantu merancang pencerobohan.

Weisenburg pula didakwa mendaftar di sebuah akademi bomba di Dallas untuk latihan berguna bagi pencerobohan tetapi gagal menamatkan pengajian.

Dia kemudian pergi ke Thailand untuk belajar mengemudi bot layar tetapi tidak mendaftar kerana kos terlalu tinggi.

Sementara itu, peguam kedua-dua lelaki itu berkata, mereka akan mengaku tidak bersalah.

Difahamkan, mereka juga didakwa memujuk seorang remaja menghasilkan pornografi kanak-kanak yang ditemukan pada peranti mereka.

Jika disabit kesalahan bagi konspirasi membunuh di negara asing, kedua-duanya berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Jika disabit kesalahan penghasilan pornografi kanak-kanak, mereka berdepan sekurang-kurangnya 15 hingga 30 tahun penjara persekutuan.

Pulau Gonave terletak 30 batu barat laut ibu kota Haiti, Port-au-Prince, dan sejarahnya menjadi tempat perlindungan bagi golongan tersisih, lanun dan banduan.

Penduduknya juga dilaporkan menghadapi kekurangan air bersih, kemiskinan meluas dan kesan bencana alam berulang seperti gempa bumi serta taufan.
-Hmetro 

Tiada ulasan: