"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Usaha naikkan Nurul Izzah jadi MB Selangor mula sejak 2024

Malaysiakini 

Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan usaha untuk menaikkan Nurul Izzah Anwar sebagai menteri besar Selangor telah bermula sejak tahun lalu.

Dia berkata usaha itu dirancang melalui penyusunan semula politik membabitkan beberapa tokoh utama PKR dan kerajaan Selangor.

Ia melibatkan penyertaan Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam PKR serta pengosongan satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN bagi membuka laluan kepadanya dan Nurul Izzah.

“Berita pasal Nurul Izzah jadi menteri besar ini saya dengar dari dalam parti, sebenarnya sejak 2024 lagi,” katanya dalam episod terbaru rancangan audio siar Yang Berhenti Menteri (YBM).

Berdasarkan maklumat yang diterimanya, kata Rafizi, Tengku Zafrul dirancang menyertai PKR pada 2024, dengan pengumumannya dijadual dibuat oleh presiden parti, Anwar Ibrahim ketika kongres parti pada tahun itu.

Namun, dakwanya lagi, rancangan itu tergendala apabila ia bocor lebih awal, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Umno.

“..Tetapi berita itu sudah keluar awal dan ada yang kata kumpulan mereka yang bocorkan. Apabila Umno tahu, Umno marah. Maka tak jadi diumumkan (ketika kongres),” dakwa bekas menteri ekonomi itu lagi.

Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa menerusi rancangan itu, satu kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen - “berkemungkinan Ampang” - akan dikosongkan, masing-masing untuk membuka laluan kepada Nurul Izzah untuk menjadi menteri besar Selangor dan Tengku Zafrul yang akan tamat tempoh senatornya pada Disember ini.

“Saya tak faham macam mana mereka boleh fikir (untuk) suruh Rodziah letak jawatan (sebagai anggota Parlimen Ampang). Rodziah tengok sajalah, tak akan boleh paksa dia,” katanya lagi, sambil menambah rancangan itu turut melibatkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang akan dibawa ke Persekutuan.

“Itu sepatutnya berlaku. Kenapa Nurul Izzah, Tengku Zafrul dan Amirudin (dilibatkan) ialah kerana Tengku Zafrul boleh melicinkan jalan Nurul Izzah jadi menteri besar.

“Masa itu sepatutnya Amiruddin sudah ke peringkat persekutuanlah,” katanya lagi.

Pada 21 November lalu, Amirudin mengakui telah mencadangkan Nurul Izzah sebagai penggantinya untuk mentadbir Selangor, dengan dia telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab di peringkat Persekutuan. 

“Secara jujurnya, saya dah kemukakan kepada Izzah sendiri, terpulang kepadanya untuk ambil cadangan itu atau tidak,” katanya dalam program audio siar Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan. 

Bagaimanapun, Anwar berkata ia hanyalah pandangan peribadi Amirudin dan tiada perbincangan dibuat antara mereka.

‘Tak ambil kira perkara lain’

Rafizi berkata keseluruhan perancangan itu menemui kegagalan susulan tentangan oleh Umno dan pelbagai perkara yang melanda PKR sejak 2024.

“...Besar kemungkinan mereka tak ambil kira perkara-perkara lain.

“Contohnya, mereka tak ambil kira tentangan Umno…kemudian masuk Februari dan Mac 2025 sudah pemilihan parti (PKR).

“Dengan segala hal semasa pemilihan parti, jadilah macam ini. Tengku Zafrul pun terlepas maka tamatlah (tempoh) dia jadi senator,” dakwanya lagi.

Tiada ulasan: