"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Benteng runtuh lagi, ‘YB air oren’ memang ada tangan emas

Harapandaily

Benteng penahan ombak di Jalan Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus di Terengganu sekali lagi runtuh sehingga mencetuskan persoalan besar terhadap keupayaan kerajaan negeri Terengganu yang ditadbir Pas dalam mengurus projek keperluan rakyat.

Bekas Pengerusi AMANAH Kawasan Marang, Miqdad Zakaria meluahkan rasa kecewa apabila pihak kerajaan negeri sebelum ini mendakwa telah belajar daripada kesilapan pertama, namun kejadian terbaru membuktikan sebaliknya.

Menurutnya, kegagalan itu berpunca daripada amalan pelaksanaan projek rundingan terus yang meragukan kualitinya.

“Bila projek rundingan terus, yang runtuh bukan saja benteng, tapi maruah dan amanah sekali,” tegasnya menerusi catatannya di Facebook hari ini.
Miqdad turut menyindir seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang sering menjadi sasaran kritikan banyak pihak kerana dikatakan terlibat dalam pelbagai projek bermasalah.

“YB air oren ni nampaknya memang ada tangan emas, sentuh je, pasti rosak,” tulisnya dengan nada sinis.

Tangan perosak

Anak saudara isteri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu turut memetik terjemahan ayat al-Quran daripada Surah ar-Rum ayat 41 sebagai peringatan bahawa kerosakan di darat dan laut sering berpunca daripada kelalaian manusia sendiri.

“Nampaknya benteng pun dah tak tahan tengok tangan perosak ni beraksi.

“Salam 32-0,” perlinya lagi merujuk kepada kemenangan besar Pas di Terengganu tetapi projek asas rakyat didakwa terus gagal disempurnakan.

Musim tengkujuh yang melanda pada masa ini menyaksikan penduduk di sepanjang pantai Terengganu terutamanya di Kuala Nerus gusar dengan ancaman keruntuhan benteng akibat hakisan ombak.

Terdahulu, tular surat berkaitan projek cadangan pemulihan dan pembaikan jalan yang terjejas akibat hakisan ombak di laluan T148, Jalan Batu Rakit ke Mengabang Telipot di Kuala Nerus, Terengganu.

Menerusi surat bertarikh 26 Januari lalu itu, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat mencadangkan nama sebuah syarikat bagi tujuan projek tersebut.

Surat ditandatangani wakil rakyat Pas yang pernah menggemparkan negara apabila menuang air oren ke dalam nasi itu ditujukan kepada Pegawai Kewangan Negeri dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.

Berdasarkan surat tersebut, Hanafiah yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu mengesyorkan projek pemulihan jalan akibat hakisan ombak itu dilakukan secara rundingan terus “atas justifikasi untuk mempercepat projek berkenaan”.

ADUN Cukai berkenaan turut melampirkan profil syarikat yang disyorkannya itu untuk rujukan dan kelulusan pihak terbabit.

Tiada ulasan: