Ahmad Hasbi

TANGKAP layar daripada video tular pergaduhan di pusat hiburan yang menyebabkan seorang lelaki maut.
SEREMBAN: Lelaki maut dipercayai ditikam dan dipukul dalam pergaduhan berkumpulan di sebuah pusat hiburan di Taman AST di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCVT) di premis berkenaan tular dan memaparkan mangsa cuba melarikan diri selepas dikejar sekumpulan lelaki sebelum dibelasah termasuk menggunakan kerusi dan kotak.
Rakaman CCTV berdurasi 1 minit 26 saat itu turut memaparkan mangsa sempat berlari masuk ke kawasan kaunter hadapan bar, dipercayai untuk meminta bantuan namun dia dikepung sebelum dipukul hingga rebah.
Seorang pekerja bar turut dilihat dalam rakaman cuba campur tangan dan menghalau kumpulan terbabit, namun sebaik mereka beredar, mangsa terus terkulai dan tidak lagi sedarkan diri.
Sementara itu, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim ketika dihubungi mengesahkan mangsa meninggal dunia selepas dibawa ke hospital akibat kecederaan parah.
“Kami sedang mengenal pasti jumlah individu terbabit dan meneliti rakaman CCTV untuk mengesan identiti suspek serta punca kejadian,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
Azahar turut meminta saksi atau sesiapa yang mempunyai maklumat tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan