"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PLKN:Kaji semula PLKN ekoran insiden kematian

Nyza Ayob

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Kerajaan didesak mengkaji semula pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ekoran beberapa insiden kematian yang melibatkan pelatih di pusat latihan program tersebut.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib berkata walaupun kes kematian terbaru Abdul Malik Ishak, 18, yang menjalani latihan program tersebut di Guar Chenderai, Padang Besar, Perlis menunjukkan tiada unsur jenayah atau kecederaan, pihak berkaitan tidak harus memandang ringan kes yang berlaku.

Jelasnya, Kementerian Pertahanan khususnya harus mengutamakan aspek kesihatan para pelatih sebelum pelatih memasuki program tersebut.

" Sebelum pelatih menyertai program latihan tersebut, seharusnya mereka disahkan oleh pihak doktor tidak mengalami sebarang masalah kesihatan agar mereka dapat menjalani latihan dengan baik serta dapat mengelakkan sebarang kemungkinan yang berlaku.

"Sekiranya pihak pelatih telah disahkan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan berdasarkan borang deklarasi kesihatan, namun dengan berlakunya kejadian seumpama ini, pihak kerajaan harus mengenal pasti serta memperbaiki kelemahan tersebut,"katanya sewaktu dihubungi.

Baru-baru ini, beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah membangkitkan mengenai masalah keselamatan pelatih-pelatih PLKN sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2008 di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Manogaran memaklumkan sebanyak 17 kes kematian dilaporkan sejak empat tahun yang lalu.

Beliau turut menyarankan agar kementerian yang berkenaan membenarkan Badan Bukan Kerajaan (NGO)membuat lawatan di kem-kem PLKN bagi menentukan sama ada pelaksanaan program di kem-kem latihan dijalankan dengan baik agar ibu bapa lebih yakin apabila menghantar anak-anak mereka.

Manakala Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf menekankan kementerian terbabit harus mengambil kira kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka dengan niat yang begitu murni untuk menjayakan program ini yang dicalar dan dicacatkan dengan kes-kes kematian.


Tiada ulasan: