"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KONFLIK POLITIK KEDAH

Perkembangan terbaru politik tanah air ialah keluarnya Ahli Undangan DAP Kedah dari gabungan Pakatan Rakyat. Ini pada saya sesuatu yang mengecewakan. Tatakala kita sedang berusaha untuk menawan Malaysia pada PRU ke-13 akan datang, satu badai sudah melanda dan meretakkan hubungan antara parti dalam Pakatan Rakyat. Mungkin ada sesuatu yang berlku di balik tabir, atau ada dalang yang menggoda sehinga terjadi demikian, itu satu persoalan yang sukar dibaca setakat ini.

2. Apa yang berlaku di Kedah belum dapat ditafsir sepenuhnya. PAS bagaimanapun masih menguasai kerajaan negeri. PAS ada 16 kerusi, PKR 5, DAP satu, BN 14. Sukar bagi BN untuk menggugat Kedah sepertimana di Perak. Pakatan Rakyat masih ada 21 kerusi kalau ditolak satu kerusi DAP. Majoriti masih di tangan Pakatan Rakyat.

3. Sikap DAP dalam hal ini belum dapat diduga punca sebenarnya. Namun tentunya agak mengecewakan kejadian yang berlaku itu, dan ia pasti menguntungkan UMNO-BN. Adakah DAP sukar dipercayai? Penulis tidak dapat menjawabnya. Politik Malaysia bercorak berbilang kaum. Oleh itu hubungan antara kaum harus dijaga dan dihormati. Anggap saja kenyataan-kenyataan pemimpin DAP adalah kenyataan politik, berdasarkan keadaan politik semasa. Dengan itu tidak ada sebab untuk membenci antara satu sama lain. Mungkin ada yang melaga-lagakan antara PAS, DAP dan PKR dalam usaha untuk menumbangkan sebuah lagi kerajaan negeri di bawah PR. Riak air harus dapat dibaca oleh para pemimpin politik. Media memang memainkan peranan memecah-belahkan perpaduan Pakatan Rakyat, sehinggalah mereka puas hati dan dapat menguasai semula Malaysia.

4. Namun zaman sudah berubah. Sokongan kepada UMNO-BN kian berkurangan. Tidak siapa pun dapat menafikannya. Hubaya-hubayalah dengan apa yang berlaku di Kedah. Semoga Menteri Besar dapat menanganinya dengan baik. Dan kita pun mengharapkan kebaikan dan keamanan. Mudah-mudahan Kerajaan Pakatan tetap teguh, bahkan lebih teguh dari sebelum ini. Badai yang melanda hanya kecil sahaja, jadi tidak wajar melatah. Biarkan UMNO-BN melatah dengan media-media rasminya. Biarkan siluncai terjun dengan labu-labinya. Kita perlu teruskan kehidupan dan perjuangan yang belum selesai ini. Insyaallah.

AlKundangi,
http://alkundangi.blogspot.com

Tiada ulasan: