"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno/PAS: Bandar raya Islam diperluas ke seluruh Kelantan

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU (Hrkh) - Majlis Daerah Ketereh (MDK) akan mengikut jejak langkah Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dikenali sebagai bandar raya Islam menjelang 2010.

Ia bakal dikenali sebagai Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan negeri telah merangka program memperluaskan konsep bandar raya Islam ke seluruh negeri.

Menjawab soalan dari Dato' Omar Mohammad (PAS - Perupok) katanya, MDK telah berusaha menuju ke arah perbandaran Islam antaranya mewujudkan dataran ilmu di kawasan Pasar Ketereh.

"Kerajaan negeri juga berpuas hati perkembangan MPKB sebagai Bandar Raya Islam sejak dilancarkan pada 2005 apabila lima teras sudah dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Haji Abdul Fattah Mahmood ketka menjawab soalan Ustaz Mohammad Awang (PAS - Gual Periuk) katanya, kerajaan negeri melaksanakan program-program yang membawa ke arah kesejahteraan golongan belia.

Katanya, program itu dilaksana dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Yayasan Islam Kelantan .

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Dato' Annuar Tan Abdullah berkata, PKINK sedang giat melaksanakan pelbagai projek melalui anak-anak syarikat antaranya pembangunan Ladang Rakyat Lubok Bongor Sdn Bhd seluas 4,575 hektar.

"Selain itu, pembangunan Ladang Kuala Balah seluas 1,851 hektar, Ladang Nenggiri (4,048 hektar), pembinaan kilang kelapa sawit di ladang tapis, Jeli, Ladang Rakyat Lubok Bongor seluas 8,393 hektar.

"Pembangunan tanah orang kampung di Lubok Bongor seluas 34 hektar dan penanaman kelapa sawit seluas 80 hektar di kampung tersebut," katanya menjawab soalan Haji Abdul Fatah Haron (PAS - Bukit Tuku) pada persidangan Dun hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri memberi sumbangan secara berkala kepada pengurusan pondok swasta.

Menjawab soalan Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (PAS - Mengkebang) katanya, kerajaan sentiasa memantau perjalanan pondok-pondok milik persendirian di Kelantan.

Menjelaskan soalan tambahan Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (PAS - Chetok) Mohd Amar berkata, kerajaan mengakui ramai ulama lahir dari sistem pengajian pondok.


Tiada ulasan: