"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ekonomi Islam: Merdekakan Ekonomi Negara!

Nyza Ayob

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Hrkh) - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS- Marang) berpandangan ekonomi negara ini perlu dimerdekakan dan tidak lagi bergantung kepada Dolar Amerika.

Beliau berkata demikian apabila sebelumnya menyarankan agar untuk menghapuskan sistem riba, pakar ekonomi khususnya disarankan mengkaji lebih mendalam alternatif yang lebih baik dan berakhlak dalam pelaksanaan sistem perbankan Islam dan tidak hanya sekadar bergantung kepada konsep Al-Bai Bithaman Ajil.

Sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Bank Negara Malaysia 2009 di Dewan rakyat semalam katanya, antara muamalat Islam yang perlu dilaksanakan ialah Al-Qardhul Hassan iaitu pinjaman tanpa faedah.

Jelasnya sistem Al-Qardhul Hassan menggalakkan produktiviti yang mana mempunyai barakah untuk menggalakkan rakyat bekerja dengan amanah dan ikhlas.

Dalam ucapannya Abdul Hadi turut menekankan, muamalat Islam juga perlu diperluaskan di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, sistem perbankan Islam kini telah mendapat perhatian masyarakat di beberapa negara Barat seperti England dan Perancis yang telah melihat kegagalan sistem liberal dan kapitalis yang mana mereka melihat amalan perbankan Islam tidak banyak terjejas dengan krisis ekonomi yang berlaku.

"Kita tahu banyak negara-negara Islam yang kaya membuat pelaburan di negara Barat. 99 peratus mereka membuat pelaburan di sana. Sedangkan di kalangan kita sendiri dalam keadaan yang merempat dan menyalahguna kekayaan.

"Dalam pertukaran wang asing, kenapa kita bergantung kepada dolar Amerika? Kita seharusnya memerdekakan ekonomi kita,"katanya.

Sehubungan itu beliau turut menyarankan agar dinar emas digunakan bagi menggantikan dolar sehingga peringkat antarabangsa khususnya dalam menjalin kerjasama dengan negara-negara Islam bagi meningkatkan ekonomi negara.


Tiada ulasan: