"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua dekan dilantik tanpa pengalaman, tidak ikut senioriti?

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Hrkh) - Sumber-sumber dalaman kakitangan sebuah universiti terkemuka di Lembah Klang mendedahkan dakwaan berlakunya pelantikan ke jawatan Dekan di dua fakulti tanpa pengalaman dan bukan senior.


Sumber yang enggan namanya disiarkan mendakwa, dekan tersebut dilantik hanya selepas berkhidmat selama empat bulan sahaja di dua fakulti tersebut dengan gaji yang agak lumayan.

Pelantikan dua individu masing-masing bagi Dekan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan di Fakulti Sains Komputer dan Tekonologi Maklumat (FSKTM) turut mendapat bantahan kakitangan dua fakulti tersebut.

Kata sumber tersebut, seramai 34 pensyarah FSKTM telah menandatangani petisyen membantah pelantikan Dekan tersebut selepas mendapati pelantikan itu dibuat tanpa mempertimbangkan senioriti tiga lagi nama calon yang dikemukakan fakulti.

Beliau turut mendakwa adanya petisyen yang dibuat ke atas pelantikan dekan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan universiti tersebut yang baharu minggu lalu dihantar kepada Naib Canselor.

"Jika ini sikap yang diambil pihak pengurusan universiti terbabit, saya melihat ia satu diskriminasi kepada kakitangan pensyarah lain yang sudah lama berkhidmat, yang sepatutnya lebih layak menjawat jawatan berkenaan," katanya.

Harakahdaily difahamkan sumber, bahawa pelantikan tersebut turut dibayangi dasar liberalisasi yang sedang dicanang kerajaan Dato' Seri Najib Tun Razak.

Kedua-dua dekan tersebut yang juga didakwa 'orang NC' universiti terbabit dikatakan tidak fasih berbahasa Melayu, malah tidak mempunyai latarbelakang pengurusan yang mantap di universiti berkenaan.

Dalam pada itu sumber juga mendedahkan, universiti terbabit turut melantik seorang Pengarah Pusat Teknologi Maklumat bukan di kalangan kakitangan senior universiti berkenaan.

Malah individu tersebut yang sepatutnya mendaftar pada akhir tahun lalu dikatakan menangguh pendaftarannya sebagai Pengarah Pusat berkenaan selama hampir tujuh bulan hingga Julai tahun ini, katanya.

"Gaji yang diberikan kepada pengarah baru ini melebihi gaji seorang Profesor yang senior.Lagi satu dia juga sepatutnya daftar hujung tahun lalu, tapi sewenang-wenang sahaja boleh tangguh hingga tahun ini, tujuh bulan lamanya, sepatutnya tidak boleh tangguh lama," ujar beliau.

Beliau seterusnya melihat, pelantikan tiga jawatan penting di universiti ini hanya akan mengkucar-kacirkan pentadbiran fakulti dan memberi kesan buruk kepada 'perpaduan' di kalangan kakitangan.


Tiada ulasan: