Ia ekoran setiausaha dakwaan MCA Sungai Besar yang dilaporkan mendakwa tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengalihkan wang sumbangan di bawah SMUE kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai penyelewengan kuasa.
"Kenyataan anggota parti pembangkang itu memperlihatkan beliau tidak langsung menyemak fakta sebelum membuat sebarang tuduhan.
"Ini kerana sesiapa yang lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974 dan sedang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur adalah layak mendaftar sebagai ahli SMUE," kata kenyataan sekretariat kerajaan Selangor hari ini.
Menurutnya, syarat kelayakan lain yang membolehkan seseorang warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai ahli SMUE ialah lahir dan sedang menetap di Selangor, atau bermastautin di Selangor sekurang-kurangnya 15 tahun.
"Skim ini merupakan satu skim khairat kematian bagi membantu keluarga Warga Emas yang layak dan berdaftar, yang meninggal dunia.
Ketepi perbezaan politik
"Maka adalah tidak wajar untuk memberi sumbangan RM1,000 sebaik selepas tarikh pendaftaran sepertimana dicadangkan oleh anggota MCA itu bagi tujuan perbelanjaan atau pelancongan.
"Berhubung kes 1,000 borang permohonan ditolak sepertimana dilaporkan dalam media, pihak urusetia yang mengendalikan skim ini - Rantaian Mesra Sdn. Bhd - mengesahkan ia tidak wujud kerana urusetia tidak berhak menolak permohonan tetapi hanya memproses borang permohonan yang dihantar dari Pusat Khidmat DUN," kata kenyataan tersebut.
Menurutnya, mereka yang layak, akan didaftarkan terus dan borang yang tidak lengkap akan dikembalikan kepada Pusat Khidmat DUN untuk melengkapkannya.
"Skim ini disasarkan kepada semua yang layak dan berdaftar tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan kedudukan sosial.
"Oleh itu, kerajaan negeri berharap parti pembangkang mengetepikan perbezaan politik dan tidak melakukan tuduhan yang tidak berasas, sebaliknya membantu menjayakan program ini demi kebaikan dan kebajikan seluruh warga Selangor.
"Bagi mereka yang mempunyai masalah dari segi pendaftaran, sila hubungi terus pihak urusetia, Rantaian Mesra Sdn. Bhd. di talian 03-55103468 atau 03-55103472," katanya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan