"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno/PAS: Kerajaan digesa beri biasiswa pada semua

Mohd Sabri Said

NIBUNG TEBAL, 29 Jun (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar meminta kerajaan memberikan biasiswa kepada semua pelajar yang berjaya ke menara gading tanpa memperkenalkan konsep merit sepertimana yang dikehendaki menerusi 'Biasiswa Nasional'.

Katanya, kerajaan tidak rugi apa-apa untuk membiayai bidang pendidikan kepada keseluruhan bakal mahasiswa atau mahasiswi kerana mereka merupakan aset penting untuk membina sebuah kerajaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

"Kerajaan tidak rugi untuk pelaburan itu kerana selepas berjaya mereka akan membantu pentadbiran dengan membangunkan negara ke arah yang lebih stabil dan baik. Saya rasa sistem merit tidak sesuai sebaliknya berikan pada mereka yang layak melangkah ke univesiti, " ujarnya selepas menyampaikan ceramah sempena Makan Malam Bersama Pimpinan di Dewan Serbaguna JKKK Sungai Chenaam, Nibung Tebal semalam.

Menurutnya, sistem merit dilihat kurang adil terutamanya pelajar yang datang daripada sekolah di luar bandar sedangkan mereka melepasi tahap atau syarat ke univesiti.

Tentunya terdapat perbezaan antara pencapaian pelajar sekolah luar bandar dan dalam bandar kerana bergantung pada segi infrastruktur.

"Jika pelajar luar bandar berjaya melepasi syarat yang dikehendaki bagi kita mereka layak menerima biasiswa daripada kerajaan. Di sini pastinya terdapat perbezaan pencapaian mereka di luar bandar dan dalam bandar sedangkan mereka berkelayakan dengan syarat yang ditetapkan. Tetapi kerana adanya merit mungkin pelajar ini terkandas daripada menerima biasiswa untuk membantunya membiayai pembelajaran di menara gading, " tegasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Jelasnya, berlainan pula dalam dunia perniagaan seperti kontraktor di mana kerajaan memerlukan merit untuk memilih syarikat mana yang terbaik baru boleh mengamanahkan pelaksanaan projek yang ingin dilaksanakan.

Kata beliau, tentunya ramai pihak menyokong sekiranya kerajaan mengutamakan sisitem merit pada sektor pembangunan kerana kesanya cukup mengembirakan.

"Merit dalam memberikan kontrak saya raya perlu kerana kita mesti memilih yang terbaik bukan yang kurang menyerlah dan kemampuan. Jika kita abaikan merit tersebut tidak hairanlah ada rosak atau runtuh dalam jangkamasa yang singkat, " tambahnya.

Mulai tahun depan kerajaan akan memperkenalkan satu kategori khas biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berkelayakan 100 peratus berdasarkan merit.

Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berkata, pengagihan semula biasiswa JPA itu hanya pelajar yang meraih keputusan peperiksaan terbaik sahaja akan memperolehi biasiswa tersebut tanpa mengira kaum dan agama.

Kerajaan bertindak demikian berikutan Menteri Pelajaran yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan had 10 mata matapelajaran yang perlu diambil dalam Sijil Pelajaran Malaysia.

"Justeru itu kerajaan mahukan sesiapa yang mendapat biasiswa ini adalah pelajar terbaik. Ini hasrat kerajaan yang mana rakyat didahulukan kita mesti mengambil kira pertimbangan rakyat keseluruhanya, " jelas Najib ketika berucap dalam majlis makan malam meraikan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri keenam negara oleh MCA dan Pertubuhan Komuniti Cina di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebelum ini.


Tiada ulasan: