"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Royat, Royan Dan Royong Ibrahim Ali

Azizi Abdullah

Seluruh alam raya rasanya terkejut dengan penubuhan 76 NGO yang kononnya hendak pertahankan hak Melayu dan Islam. Penubuhan ini diusahakan oleh seorang polotik yang ketinggalan sampan, yang melompatnya sudah kehabisan stamina dan kelantangan seolah-olah orang meroyat meroyan lalu jadi royong.

Ibrahim Ali selaku wakil rakyat yang akhir zamannya mengguna platform Pas untuk terus menari mengikut pukulan rodat Umno, telah menyambung hayatnya dengan menubuhkan NGO Perkasa, yang kini borang-borang menjadi ahli disibarkan melalui ahli Umno di kampung-kampung.

Seorang bilal di sebuah kampong terbeliak mata sambil bertanya, apa dia Perkasa?

Persoalannya, apakah benar Ibrahim Ali hendak memperkasakan untuk melindungi dan membentengi kepada pihak yang semakin cuba menganggu hak-hak keistimewaan serta ekonomi orang Melayu, kedudukan agama Islam dan ketuanan Raja-Raja Melayu?

Kita menjawab, tidak!

Keistimewaan dan ekonomi orang Melayu, kedudukan agama Islam dan ketuanan yang menjadi dasar perjuangan NGO yang ditubuhkan ini benar-benar menampakan Ibrahim Ali seperti seekur cacing yang terkeluar dari lunggukan dalam tempurung, lalu mengodek menceding kepanasan seorang diri.

Sekian lama di dalam Umno dulu adalah platform yang sangat sesuai untuk Ibrahim perjuangkan ini, tetapi Ibrahim sudah membuat talak dan kemudiannya seakan menjadi gila talak pula. Pada hemat kita, Umnolah yang seelok-eloknya perjuangkan soal ini, bersempena dengan nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu.

Mungkin Ibrahim Ali akan menjawab, Umno juga sudah menyeleweng, maka Perkasalah yang akan berjuang semula. Manakala Pas yang bagi Ibrahim Ali dianggap sebagai pembela agama, sepatutnya Ibrahim Ali bersama Pas. Jika tidak masakan beliau ‘mengadap’ Pas untuk mendapat kawasan Pasir mas untuk rakyat memilihnya. Tapi ternyata hasrat itu tidak ikhlas, seperti ada belacan di balik lesung. Cuma perjuangan ketuanan/kedaulatan Raja-Raja sahaja yang kita tidak pasti hendak meletak Ibrahim Ali di mana, kerana kedaulatan dan ketuanan ini sama-sama diperjuangkan oleh Pas mahupun Umno.

Maka dengan tertubuhnya Perkasa nyatalah Ibrahim Ali tidak mempercayai terhadap perjuangan Umno dan tidak mahu peduli lagi dengan Pas. Soalnya sekarang, apakah Perkasa mampu memberi makna dan kesan terhadap perkara yang diperjuangkan ini?

Jawapannya, jika tidak semua orang Melayu percaya dan yakin, sekurang-kurangnya Mubarak (Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia) GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) Persatuan Pemikir Profesional Mrelayu Malaysia dan Cuepacs adalah diantara pertubuhan yang meletak pundak kepercayaan terhadap Ibrahin yang induknya dipimpin oleh beliau.

Ada satu andaian yang boleh kita buat dan sekaligus menamakan Perkasa yang dipimpin oleh Ibrahim Ali telah menolak sama sekali pemimpin Umno, mencabar mereka dan sekaligus seperti Pesaka tidak mempercayai pemimpin Umno. Jika bukan alasan ini masakan hal-hal keMelayuan yang akan diperjuangkan oleh Perkasa dan gabungannya? Ternyata pemimpin Melayu dan Umno adalah golongan yang mengkhianati Melayu dan ekonominya bagi Perkasa. Begitu kita rasa apabila Ibrahim Ali meletakkan beberapa perkara tentang Melayu yang hendak diperjuangkannya.

Begitu jugalah dengan Mubarak, Gabungan Pelajar Melayu dan Pemikir Profesion Melayu. Jika mereka percayakan Umno, masakan mereka sanggup mau bersama Perkasa yang kononnya hendak membela Melayu?

Membangkitkan soal Melayu bererti menghembus api perkauman dalam era 1Malaysia yang ingin menjadikan satu bangsa. Atas hak dan kekebasan berjuang, apa pandangan Ibrahim Ali sekiranya ada pula NGO Cina, NGO India yang hendak berjuang hak-hak mereka? Malaysia bukan lagi negara Melayu tetapi juga negara semua bangsa. Maka sebenarnya Ibrahim Ali telah men’ double standard’ apa yang tidak diingini oleh kerajaan dan 1Malaysia dan usaha ini sebenarnya usaha perkauman, memecah belah perpaduan kaum di negara kita.

Jika Umno sendiri mempunyai dasar perjuangan membela Melayu, Melayu yang macam mana pula yang akan dibela oleh Pesaka dan 75 NGO lagi?

Kita sebenarnya tidak menafikan peranan NGO dalam apa juga perkara, termasuk menjadi pendesak kepada mana-mana pihak, malah NGO sangat penting. Tetapi NGO yang diusahakan oleh Ibrahim Ali dengan menggabungkan pula NGO yang disenaraikan di atas, ia dilihat semacam pelawak dalam ‘Akademi Raja Lawak’ yang cuba memaksa orang ketawa.

Masakan orang terbuang dalam perjuangan Melayu, kembali dengan taring tumpul mengajak pula membela Melayu? Masakan sesudah mendapat tempat dari ehsan perjuangan Islam, lalu perjuangan Islam cara lain pula hendak diperjuang?

Masyarakat Melayu akan melihat, siapa Mubarak? Mubarak adalah Wakil Rakyat Melayu yang sudah tidak menjadi YB, yang tidak punya gigi lagi dalam dewan. Mereka mau bangkit untuk apa? Apakah mereka mempunyai rekod cemerlang ketika menjadi YB dulu membela bangsanya?

Tiga perkara utama yang melandai bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seperti soal bahasa, soal maruah agama dan ekonomi, apakah yang dilakukan oleh NGO ini? Yang berlaku ialah mereka sering membuntuti pemimpin Umno. Celah dan sebuk Ibrahim Ali tidak pun menjurus kepada persoalan kebenaran dan keadilan sebaliknya mencelah hanya melihat isu yang menyebelahi Umno dengan harapan conteng dan comot yang berlaku dulu dapat dibasuh.

Sebagai contoh terdekat apabila Ibrahim Ali turut serta dalam demonstrasi yang kononnya kerajaan Pulau Pinang tidak berlaku adil terhadap peniaga Melayu di Simpang Enam baru-baru ini.

Soal peniaga Melayu Pulau Pinang bukan soal baru. Meruntuh gerai juga bukan soal baru. Malangnya ia diangkat semula kerana itulah satu-satunya jalan untuk Umno menunjuk kepada Melayu Pulau Pinang yang mereka membela Melayu.

Ibrahim Ali terperangkap dengan tumpang sekaki kerana kononnya Perkasa adalah NGO membela Melayu.

Kita merasa sangat janggal usaha ini sehingga 76 NGO bergabung. Sayangnya kita tidak nampak mana lagi puluhan NGO, selain dari NGO yang menjadi pembodek.

Apakah Ibrahim Ali sekarang sangat keseorangan dalam politik lalu mencari jalan lain untuk mempopuler diri? Apakah bersuara melalui NGO, beliau lebih bebas dari bersuara sebagai Ahli Parlimen atau suara Ali Parliemnya sudah tidak keramat lagi? Memang pun, suara Ahli Parlimen yang terpinggir tidak dihirau oleh sesiapa, apa lagi kalau bernama ‘bebas’ pula.

Apa yang dapat kita lihat sekarang Ibrahim Ali dalam keadaan serba tak kena. Menjadi Ahli Parlimen suara tidak keramat. Menjadi ahli Parlimen Bebas terasa sangat kecil bunyi suara. Mau mementang mengikut kadar prinsip, juga dirasa tidak akan ke mana. Hendak dikatakan pembangkang bukan pembangkang. Mau menyebelahi Pas yang telah ‘mengehsankannya’ dulu, terasa macam Pas tak berpaling pun.

Barangkali kita perlu membuat ramalan masa depan bahawa Pesaka dan Ibrahim Ali hanya mampu menyambung hayatnya sehingga PR13 dan selepas itu kita harus mentalkinkannya.

Tiada ulasan: