KOTA BAHARU, 9 Mac: Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra hari ini memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua baginda, Che Puan Elia Suhana Ahmad, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Peguam Sultan Kelantan, Zainul Rijal Abu Bakar, ketika dihubungi Bernama, berkata beliau dan rakannya Abdul Halim Bahari telah memfailkan permohonan itu pada 3.30 petang.
“Kami telah dititahkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai antara Tuanku dan Elia Suhana binti Ahmad yang dilafazkan sendiri oleh baginda Tuanku terhadap Elia Suhana pada 12 Feb 2010 di hadapan beberapa orang saksi,” katanya.
Zainul Rijal berkata mahkamah menetapkan 21 Mac ini bagi mendengar permohonan itu.
Dua hari lepas, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mengemukakan bantahan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu terhadap arahan tunjuk sebab kerana ingkar perintah mahkamah membenarkan hak melawat baginda yang dikeluarkan kepada Elia Suhana.
Pada 4 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu membenarkan Elia Suhana, 31, melawat Sultan Kelantan yang ketika itu menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi setiap Sabtu sehingga pagi Isnin setiap minggu.
Bagaimanapun Elia Suhana mendakwa dihalang daripada bertemu suaminya dan pada 21 Feb lalu mahkamah telah mengarahkan Raja Perempuan Kelantan bersama dua pengawal peribadinya hadir untuk tunjuk sebab.
Mahkamah menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Pada 4 Mac lalu, Sultan Kelantan telah berangkat pulang ke Kelantan setelah hampir 10 bulan dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan