Harakahdaily
HULU SELANGOR, 23 April: Tiga kawasan Felda di Hulu Selangor terputus bekalan elektrik sejak jam 1 tengahari tadi. Ia dibimbangi kalau-kalau ia dibuat untuk mensabotaj program Himpunan Anak-anak Peneroka Felda yang sedang berjalan di Desa Maju, Felda Sungai Tengi.
Ekoran ketiadaan bekalan elektrik itu, beberapa program yang dirancang dalam perhimpunan ini terpaksa dibatalkan.
Namun begitu, pihak penganjur perhimpunan ini, iaitu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) telah menguruskan generator bergerak untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik ini.
Malam ini, tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat akan turun memberikan ceramah di majlis perhimpunan yang diadakan di pusat atau medan Felda Sungai tengi ini.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bergabung dengan Haji Muhamad Sabu di samping calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim akan memberikan ucapan masing-masing.
Besok, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat akan merasmikan perhimpunan ini. Beliau akan disertai sama oleh datuk Dr Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco kerajaan negeri.
Dua kertas kerja akan dibentangkan di perhimpunan yang menurut sumber sangat dibimbangi oleh jentera pilihan raya BN.
Ini kerana, Anak, pimpinan Mazlan Aliman ini sangat memahami masalah di Felda dan bakal menaikkan semangat peneroka Felda untuk membetulkan kesilapan yang dibuat oleh Felda.
Salah satu kertas akan dibentangkan oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud yang berjaya memberikan RM11 juta kepada Peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan yang berjaya dalam saman mereka terhadap Felda.
Beliau akan memberikan tafsiran sebenar Akta GSA 1960 yang mengawal pergerakan Felda. Ia dibuat berdasarkan keputusan mahkamah terhadap saman yang beliau kendalikan bagi pihak peneroka Fekda Kemahang itu.
Kertas beliau akan diulas pula oleh aktivis yang pernah ditahan ISA kerana isu Felda iaitu Haji Suhaimi Said yang juga seorang peguam.
Satu lagi isu yang akan dibincangkan dalam himpunan ini adalah isu perahan di kilang kelapa sawit Felda. Ia akan dibentangkan oleh Razali Ithnin, bekas pegawai kanan MPOB.
Turut dibawa ke Felda ini adalah para pejuang isu Felda dari kawasan seluruh negara, Antaranya dari Lurah Bilut, Cahaya Baru dan lain-lain.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka akan memberikan ucapan penutup malam esok. Beliau dijangka membuat beberapa pengumuman penting untuk Felda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan