Nazri Abdullah
HULU SELANGOR, 24 April: Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor telah melantik Datuk Zaid Ibrahim sebagai ketua task force khas memastikan semua peneroka di negeri ini mendapat hak milik ke atas tanah yang mereka terokai sejak sekian lama.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar,Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu berucap menutup Himpunan Warga Felda Kebangsaan kali kedua di Felda Sungai Tengi, petang tadi.
"Orang yang akan bersama saya membantu tuan puan mendapat hak tanah ini adalah Datuk Zaid Ibrahim.
"Beliau telah cakap dengan saya, beliau akan uruskan hak tanah peneroka negeri Selangor, " umum Khalid di majlis itu disambut sorakan warga felda yang hadir.
Zaid katanya diberi tanggungjawab menyemak semula semua perjanjian yang dibuat antara peneroka dengan Felda dan juga kerajaan pusat.
Sekiranya berlaku ketidakadilan kepada peneroka, pihak kerajaan negeri akan mengambil langkah segera menyelesaikannya.
Beliau juga mengumumkan perlantikan ahli lembaga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Mohamed Azmin Ali untuk menguruskan perumahan generasi kedua yang dirancangkan sebelum ini.
"Kerajaan negeri Selangor berusaha membuat penempatan untuk generasi kedua Felda.
"Tugas ini saya kan serahkan kepada Azmin Ali," katanya lagi.
Mengulas lanjut pemilihan Zaid beliau berkata, ianya dibuat bukan kerana Zaid menjadi calon Pilihan Raya Hulu Selangor, tetapi atas kepakaran dan pengalaman Zaid sebagai seorang peguam sebelum ini.
"Kerajaan negeri Selangor bertuah dapat personaliti macam Zaid," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan