"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakatan Rakyat hantar memo kepada Barack Obama

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 Jun:
Perbincangan Meja Bulat Pakatan Rakyat hari ini memutuskan akan menghantar satu memorandum bantahan kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Turut akan dikemukakan termasuk usul yang dibentang di parlimen Januari 2009 berhubung isu Palestin.

Mereka secara bersama turut mengutuk tindakan Israel menyerang kapal konvoi bantuan antarabangsa ke Gaza. Mereka mendesak agar Israel didakwa di mahkamah antarabangsa.

Selain itu, Israel juga didesak memberi pampasan kepada mangsa terlibat dan memulangkan barangan kemanusiaan yang dirampas kepada penganjur misi. Mereka juga mendesak masyarakat antarabangsa menyokong penuh perjuangan rakyat Palestin untuk mempertahankan hak dan keadilan mereka.

Terdahulu pimpinan Pakatan Rakyat pagi ini memulakan perbincangan meja bulat "Keamanan dan Keadilan Untuk Gaza" bagi mencari tindakan konkrit yang wajar dilakukan Malaysia untuk dibawa ke persidangan Parlimen Isnin ini.

Perbincangan pagi tadi berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru bermula sekitar jam 11 pagi dengan kehadiran kepimpinan utama Pakatan Rakyat dan ahli parlimen PAS, PKR dan DAP serta wakil NGO.

Antara mereka termasuklah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta ahli parlimen dan kepimpinan parti masing-masing.

Turut serta adalah Presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Perbincangan dimulakan dengan ucapan aluan oleh wakil parti masing-masing berhubung pandangan mereka terhadap insiden terbaru serangan berdarah tentera Israel ke atas kapal konvoi kemanusiaan Gaza Isni lalu.

Perbincangan berlangsung sehingga jam 12.30 tegah hari tadi sebelum sidang media berhubung resolusi yang telah dicapai diadakan.

Resolusi tersebut akan dibawa ke dewan rakyat Isnin ini apabila kerajaan sesi persidangan parlimen bermula.

Selepas perbincangan meja bulat ini juga, difahamkan kesemua pimpinan pakatan akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kg. Baru sebelum memulakan perarakan sejuta ummah ke bangunan Kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah tindakan Israel itu.

Tiada ulasan: