"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat diseru sertai Kempen Memansuhkan Judi esok

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 Jun:
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) menyeru seluruh rakyat turun ke pelancaran Kempen Memansuhkan Judi esok, 5 Jun sebagai sokongan kepada bantahan terhadap tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 bermula bulan ini.

Setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat (gambar) memberitahu, pimpinan Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan ulama akan berhimpun di hadapan kompleks membeli belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara jam 2 petang esok.

Menurutnya, GMJ yang baru ditubuhkan 1 Jun Lalu mengadakan kempen berkenaan bertujuan mendesak kerajaan menarik balik lesen judi yang telah diluluskan.

Selepas pelancaran kempen ini, GMJ akan memulakan kempen mereka dimulakan dengan penyerahan memorandum kepada ahli-ahli Parlimen pada Isnin, 7 Jun ini sempena persidangan Dewan Rakyat.

Pada 23 Jun pula, GMJ akan menyerahkan memorandum sama kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Manakala road show ke serata negeri berjalan sepanjang masa dan akan bermula 15 Jun ini sehingga hari kemuncak bantahan 3 Julai ini.

Ianya bermula di Wilayah Persekutuan, Selangor (18 Jun), Terengganu (19 Jun), Kedah dan Pulau Pinang (22 Jun), Perak (23 Jun), Perlis (26 Jun), Johor (27 Jun), Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan (29 Jun).

"Kemuncak kepada kempen ini adalah Himpunan 100 Ribu Rakyat Malaysia Membantah Judi Sukan pada Sabtu 3 Julai depan jam 2 petang di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, Suhaizan sekali lagi menyeru seluruh rakyat yang prihatin dalam isu ini akan bersama-sama memberikan sokongan terhadap kempen tersebut.

Ini kerana, ujarnya kelulusan lesen judi akan mendatangkan impak negatif kepada rakyat, bukan mendatangkan kebaikan kepada negara seperti yang dicangankan kerajaan.

Kesannya termasuklah keruntuhkan mutu sukan negara, mendorong rakyat bergantung kepada nasib, menurunkan produktiviti negara, meruntuhkan institusi keluarga, meningkatkan gejala sosial, meningkatkan kadar jenayah, meningkatkan beban hutang rakyat, meruntuhkan ekonomi negara dan menyalahi dasar-dasar semua agama.

Tiada ulasan: