"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jamil Khir taruhan Umno untuk jadi MB Kedah

ZULKIFLI YAHAYA

Sedang ghairah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah ke hulu ke hilir seluruh pelosok negeri Kedah kononnya untuk memulihkan Umno di negeri ini, tiba-tiba 11 ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Alor Setar meletakkan jawatan. ‘Pukulan’ kepada Ahmad Bashah ialah kerana Alor Setar adalah bahagian yang dipimpinnya. Bagaimana dia nak menyatukan Umno Kedah yang sedang berpecah-belah, kalau bahagian yang dipimpinnya sendiri bercelaru.


Dalam catatan politik tanahair hampir tidak pernah berlaku perletakan jawatan yang begitu ramai dalam sebuah parti yang besar seperti Umno. Ia sangat mengejutkan.


Setelah usaha memujuk mereka kembali kepada jawatan dilakukan dengan serius hanya tiga orang sahaja yang bersedia kembali. Itupun dikatakan berlaku selepas mereka dihulurkan sumbangan duit raya dengan jumlah yang ramai orang akan ketawa mendengarnya.


Perletakan jawatan beramai-ramai ini berlaku selepas beratus ahli Umno dari kawasan DUN Bakar Bata dan Alor Mengkudu (dalam Parlimen Alor Setar) keluar parti untuk menyertai PAS beramai-ramai.


Sama ada cerita perletakan jawatan beramai-ramai ini berlaku dengan percaturan pihak lain atau ‘keikhlasan’ mereka sendiri maka yang pasti imej Dato’ Bashah sebagai calon Menteri Besar Kedah jatuh menjunam. Spekulasi bahawa dia akan diangkat menjadi Pengerusi Perhubungan berakhir di situ sahaja.


Menurut sumber dalaman Umno, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Baharom akan dilantik dalam masa terdekat sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kedah menggantikan Dato’ Shafie Afdhal yang sudah hilang keyakinan terhadap masa depan Umno negeri ini.


Serentak itu juga Jamil Khir adalah calon Menteri Besar bayangan BN. Sejak mendapat ‘arahan’ pihak atasan itu, anak aktivis PAS Jerai itu begitu kerap turun kawasan dengan memberi tumpuan kepada DUN Guar Chempedak.


Kawasan DUN Sungai Limau yang diwakili Dato’ Seri Ustaz Azizan tentulah bukan kerusi pilihan bagi Jamil Khir kerana di waktu PAS Kedah paling lemah pun, kerusi tersebut tidak pernah dirampas oleh BN.


Khabarnya banyak habuan duniawi telah dihamburkan beliau kepada penduduk di situ dengan menggunakan kedudukannya sebagai menteri.


Sekarang Jamil Khir adalah ketua Penerangan Umno Kedah. Dia dianggap tokoh paling layak memimpin Umno negeri ini.


Soalnya dalam Umno ia tidak semudah itu. Tan Sri Sanusi Junid yang tinggi profailnya dalam Umno Pusat pun, jadi ‘orang asing’ bila balik memimpin Umno Kedah.


Bukan setakat di peringkat negeri, di peringkat DUN Guar Chempedak pun usaha menyekat Jamil Khir sudah berlaku.


Calon lain untuk jawatan Menteri Besar Kedah BN dalam bayangan ialah Datuk Mukhriz Mahathir. Sebab itulah namanya turut tersenarai sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil Kota Siputeh. Dia dianggap bisa selagi Tun Dr. Mahathir masih bernafas.

Baca selanjutnya di sini

Tiada ulasan: