"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keluarga 4 remaja simbah cat di surau minta maaf

Keluarga empat remaja yang ditahan berhubung kes simbah cat dan baling botol arak di Surau Taman Pulai Impian di Seremban, memohon maaf kepada masyarakat Islam atas perbuatan anak mereka.

Cheng Kok Foo, 38; Wong Seow Wai, 43; Loh Teck Ai, 53 dan Leong Foong Kuen, 53, masing-masing memohon maaf dan bersalaman dengan pengerusi jawatankuasa surau itu, Mohd Hasbi Ismail, dalam satu pertemuan anjuran MCA Negeri Sembilan di surau itu, pagi ini.

Turut hadir, pengerusi MCA Negeri Sembilan, Datuk Dr Yeow Chai Thiam dan ketua Umno Cawangan Taman Panchor Jaya, Arshad Jawi.

Ibu bapa kepada empat suspek itu memohon maaf kepada seluruh umat Islam, khasnya di taman perumahan itu, di atas perbuatan anak mereka yang telah menyinggung perasaan umat Islam.

Mereka melahirkan rasa kesal dan dukacita dengan kejadian itu yang mereka anggap sebagai satu kesalahan besar.

Mohd Hasbi pula berkata, beliau dengan rasa hati terbuka menerima permohonan maaf itu.

"Saya harap selepas ini mereka dapat membentuk dan mengubah sikap anak mereka agar perkara ini tidak berulang. Nasihatkan mereka jalan yang benar terutama sekali dalam soal agama kerana ia cukup sensitif," katanya.

Katanya, beliau menghormati usaha yang dilakukan oleh MCA kerana ia telah dapat meredakan ketegangan kaum.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku ke atas mana-mana rumah ibadat. Isu ini adalah isu sensitif yang telah menyinggung perasaan umat Islam di negara ini," katanya.

Yeow berkata, beliau merasa bertanggungjawab untuk menenangkan keadaan.

"Demi perpaduan kaum, saya mengatur pertemuan ini supaya mereka yang terbabit memohon maaf. Perkara ini berlaku kerana empat suspek terbabit tidak faham dan tidak sangka perkara ini sensitif. Ini adalah satu pengajaran agar kita sentiasa meningkatkan perpaduan di antara kaum," katanya.

Yeow berkata, MCA akan menganjurkan majlis berbuka puasa Jumaat ini di surau tersebut di mana kira-kira 500 jemputan dari pelbagai kaum dijangka hadir.

Selasa lalu, polis menahan empat remaja berusia 16 dan 18 tahun untuk membantu siasatan polis berhubung kejadian itu. Mereka kini ditahan reman selama empat hari.

-Bernama-

Tiada ulasan: