"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS harap Najib ‘cakap serupa bikin’

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 Dis: PAS mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti bercakap serupa dengan bikin.

“Allah SWT murka dengan orang yang bercakap tetapi tidak buat sebagaimana firman-Nya dalam surah as-Saf, ayat 2 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman kenapa kamu bercakap perkara yang kamu tidak lakukan,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau mengulas kenyataan Najib sewaktu berucap merasmikan Masjid Saiyyidina Ali di Bukit Katil, Melaka, dengan sinis mengatakan usaha untuk meninggikan syiar Islam dan membangunkan ummah tidak boleh berdasarkan kepada slogan ‘Membangun Bersama Islam’ semata-mata, kerana tidak akan membawa kepada pembangunan ummah hari ini.

Tegas Idris, PAS ingin memperingatkan kepada Najib yang juga Presiden Umno dengan slogan itulah PAS boleh memerintah sampai 20 tahun di Kelantan walaupun dengan sekatan dan diskriminasi politik kuno Umno kepada kerajaan rakyat yang sah.

PAS, tambahnya boleh membuktikan banyak perkara yang dilakukan melalui slogan Membangun Bersama Islam, kemudian ditiru pula oleh kerajaan pusat.

Contohnya, kata beliau pinjaman tanpa faedah kepada kaki tangan, bantuan kifalah untuk warga emas, rumah tiga bilik, cuti dua hari dalam seminggu, kempen menutup aurat, kaunter berasingan, mengharamkan judi, menghadkan arak kepada orang bukan Islam sahaja, pajak gadai Islam, yang menunjukkan slogan yang PAS gunakan seiring dengan amalan.

Tambahnya, PAS pun mengharapkan Datuk Seri Najib boleh memulakan kehidupan dan amalan yang serasi dengan kehendak Islam sesuai dengan ucapan beliau yang mengatakan tidak cukup dengan slogan sahaja.

“Tinggalkan sikap pramatis yang mengikut suasana dan tidak mengikut prinsip agama. Jangan sewaktu merasmi masjid bicara hal agama dan mengajak pendengar ikut suruhan agama, dalam masa meraikan festival fesyen Islam di Monte Carlo, Islam yang diucapkan entah ke mana,” ujarnya.

Menurutnya, pendekatan seperti itu mengelirukan orang bukan Islam di negara ini untuk berjinak dengan Islam.

Tiada ulasan: