"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Patuh kepada sistem demokrasi: BN jangan rampas kuasa jika PR menang

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 15 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta pemimpin Barisan Nasional mengotakan janji dengan tidak melakukan rampasan kuasa sekiranya mereka kalah dalam PRU ke 13 akan datang.

Ini penting bagi membuktikan BN benar-benar menghormati demokrasi di Malaysia, kata ketua penerangannya, Fadhil Othman (gambar).

Katanya, kenyataan Datuk Mahfuz Omar Naib Presiden PAS yang menjangka BN akan melakukan rampasan kuasa sekiranya kalah adalah suatu bayangan atau persepsi berdasarkan ucapan dari Perdana Menteri sendiri.

Dalam kenyataan awal, Perdana Menteri telah meminta rakyat agar tidak memilih parti selain BN. Dalam hal ini, seolah-olah Perdana Menteri enggan mengiktiraf kewujudan parti politik selain BN sedangkan inilah amalan demokrasi yang sihat yang membenarkan kewujudan parti-parti politik bertanding dalam pilihanraya.

"Soalnya, apakah hanya BN sahaja layak memerintah manakala parti lain tidak berhak untuk memerintah. Adakah sekiranya BN kalah bererti Perdana Menteri tidak boleh mengiktiraf kekalahan BN dan seterusnya mengiktiraf kemenangan Pakatan Rakyat (PR)?" soal beliau dalam satu kenyataannya hari ini.

Katanya, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berkongsi kebimbangan dengan trend politik BN selama ini terutama apabila kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang sah dijatuhkan dengan suatu konspirasi yang cukup terancang.

Di Kedah pula, katanya, ada usaha untuk membeli wakil rakyat dari Pakatan Rakyat (PR) agar kerajaan PR Kedah tumbang.

Kerajan Kelantan hampir tumbang tahun 2004-2008 kalau tidak kerana kekuatan dari ADUN PAS yang cuba dibeli untuk melompat parti, katanya.

"Ini belum dicampur dengan sikap berpilih BN terhadap kerajaan Pakatan Rakyat. Pada tahun 1999, setelah PAS menguasai kerajaan Terengganu, royalti minyak ditarik balik manakala di Kelantan pada tahun ini, kerajaan BN tidak memberikan royalti minyak kepada kerajaan negeri meskipun kerajaan Kelantan berhak mendapat royalti tersebut. Mengapakah ada sikap double standard terhadap kerajaan Pakatan Rakyat?" soalnya.

"Pemuda PAS Wilayah mengharapkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar menghormati keputusan rakyat dalam PRU ke 13 nanti," katanya.

Pihaknya juga meminta agar BN bersikap adil terhadap semua parti politik seperti membenarkan kebebasan media, membebaskan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari pengaruh kuasa dan politik, tidak menyerang dan memfitnah pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat, serta layanan yang adil terhadap semua kerajaan Pakatan Rakyat.

"Walau apapun keputusan nanti, BN mesti bersedia menyerahkan Putrajaya dalam keadaan aman kepada Pakatan Rakyat dan sebaliknya pula. Pakatan Rakyat bersedia mengaku kalah dan berjiwa besar sekiranya benar rakyat telah menolak PR dalam PRU ke 13 kelak!" tegasnya.

Tiada ulasan: